TERKINI

Proklamasi : Timbalan Presiden Bersatu Puji Langkah Tun M

Ahmad Faizal Azumu – foto Malaysian Update

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2023 – Timbalan Presiden parti Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memuji langkah Dr Mahathir Mohamad mengetengahkan Proklamasi Orang Melayu.

Dalam satu temubual oleh Free Malaysia Today, Faizal berkata ia (Proklamasi) menghimpunkan pemimpin-pemimpin Melayu untuk kepentingan komuniti itu, dan bukannya mana-mana parti.

Beliau berkata usaha itu jauh lebih bermakna berbanding kembali menjadi ahli Bersatu.

“Pada masa yang sama, Mahathir sebagai tokoh terulung sangat dialu-alukan untuk bersama Bersatu,” katanya.

Sebelum ini Ketua penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris memberitahu bahawa Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong Proklamsi Orang Melayu kerana agenda Melayu.

Beliau berkata Muhyiddin telah memberi ‘lampu hijau’ kepada pemimpin Bersatu untuk menyokong Proklamasi itu atas kapasiti peribadi demi penyatuan Melayu.

Proklamasi itu merangkumi 12 perkara antaranya menyebut bahawa orang Melayu tidak pernah menguasai ekonomi negara ini dan satu-satunya kuasa yang ada iaitu politik turut terlucut dari tangan mereka

Antara pemimpin yang telah menurunkan tandatangan ialah Presiden PAS Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Selain daripada itu, turut menyokong Proklamasi tersebut adalah Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan Setiausaha Agung PAS dan Mohd Syahir bin Che Sulaiman Setiausaha Politik Presiden PAS telah menandatangani Proklamasi termasuk Presiden dan Pejuang Kedah, Mukhriz Mahathir. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp