TERKINI

Pusat Pemulihan LGBT Johor : Kenyataan JFS langgar keluhuran Perlembagaan, kata peguam

Haniff Khatri – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 3 Dis 2023 — Peguam, Haniff Khatri menyifatkan kenyataan Justice For Sisters (JFS) yang mempersoalkan hasrat kerajaan negeri Johor menubuhkan pusat pemulihan untuk kelompok akidah terpesong dan LGBT, sebagai satu kecaman yang salah dan melanggar konsep keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Haniff, kenyataan JFS itu akan menyebabkan timbulnya ketidakpuasan hati dan membangkitkan kemarahan kelompok Muslim kerana dilihat mencampuri urusan agama Islam yang tiada kaitan dengan individu bukan Islam.

“Pengumuman Kerajaan Johor tentang pusat pemulihan akidah terpesong dan juga pengamalan hubungan sesama jenis tersebut adalah secara khusus berkaitan umat Islam di Johor, ia bukan berkaitan mana-mana komuniti lain yang bukan beragama Islam.

“Justeru kenyataan JFS dalam Malaysiakini pada hari ini bertajuk ‘Penyeksaan’ – NGO hak asasi selar cadangan pusat pemulihan LGBT di Johor’, secara jujur dan objektif saya mengatakan adalah satu kenyataan yang tidak ada hak untuk dikeluarkan JFS tersebut. Kata Haniff.

Haniff juga berpendapat bahawa rakyat Malaysia sepatutnya wajar memahami di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Islam merupakan agama persekutuan yang menentukan wujudnya dua jenis undang-undang buat Muslim di negara ini iaitu undang-undang Malaysia (sivil) dan undang-undang syariah.

Katanya, sebarang perkara menjadi bidang kuasa syariah yang terpakai kepada individu Muslim tidak mengganggu gugat, malah tidak boleh dicampuri dengan kenyataan daripada pihak bukan beragama Islam yang tidak memahami perundangan Islam.

“Malahan satu kenyataan yang tidak betul, tidak tepat dan tidak mematuhi serta tidak menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan,”

“Yang kedua JFS juga secara salah mengatakan kononnya pengadaan pusat pemulihan itu bercanggah dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka perlu mendapatkan nasihat undang-undang yang tepat — hak kerajaan-kerajaan negeri untuk menyelia dan menggubal peruntukan perundangan syariah tidak menjadikan dia berlawanan kepada Perkara 5 ataupun Perkara 8 (di mana) Perlembagaan cukup jelas dengan perkara ini,” kata Haniff dalam siaran video yang dimuat naik di laman facebook beliau, baru-baru ini.

Sebelum ini, wakil JFS, Thilaga S berkata, menahan individu atas alasan menukar orientasi seksual, identiti jantina dan ekspresi mereka adalah sama dengan penyeksaan.

Thilaga S berkata pusat seumpama itu mencabuli hak asasi manusia dan melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, yang melindungi kebebasan individu, privasi dan maruah rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan yang sama, JFS menggesa rancangan itu dibatalkan dan meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (SUHAKAM) melibatkan Kerajaan Johor dan melakukan penilaian hak asasi manusia ke atas pusat yang sama di seluruh negara.

Namun, Haniff berkata gesaan JFS yang meminta Suhakam untuk mencampuri urusan berkenaan adalah salah.

“Ini kerana Akta Suhakam sendiri menyatakan suruhanjaya hak asasi Malaysia berpandukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan hak negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang terpakai kepada orang Islam.

Haniff menasihati JFS agar terlebih dahulu memahami struktur pentadbiran negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan memahami apakah itu bidang kuasa Islam negeri dan memahami apakah itu jurisprudence Islam. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp