KUALA LUMPUR, 11 Okt 24 – Wakil parti Putra, Dato’ Asmawar Bin Samat mempersoalkan kenyataan Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berhubung cadangan untuk mengkaji semula subsidi telur dipasaran.
Dalam satu kenyataan, Asmawar mempersoalkan sekiranya subsidi telur mahu dihapuskan atas alasan menjimatkan duit kerajaan, apakah bantuan yang masih tinggal untuk rakyat dan apakah agenda subsidi untuk rakyat ini akan terus dihapuskan dibawah kerajaan madani?
“Jika subsidi telor hendak dihapuskan bagi menjimatkan duit kerajaan sebanyak RM100 juta, jadi apa lagi bantuan kerajaan yang tinggal untuk rakyat? Yang pasti tiada apa lagi yang tinggal, konsep ‘subsidi’ boleh ditutup dari agenda murni kerajaan Madani buat selamanya.
“Ketiadaan subsidi pastinya akan meningkatkan lagi harga telur dipasaran.
“Pastinya mereka yang terjejas adalah golongan berpendapatan rendah seperti B40, pelajar, boroh, wargaemas dan pesara kerana pendapatan rendah, berkurangan atau kehilangan pendapatan kerana kehilangan upaya. Ujarnya.
Asmawar juga mengulas isu padi dan beras dengan menyifatkan usaha kerajaan menangani masalah kartel, masih belum menampakkan hasil.
“Selain usaha memperkemas tatakelola, pihak kerajaan perlu serius dalam usaha untuk merombak cengkaman puak kroni dan kartel yang selama ini diketahui dan disedari, tetapi masih belum dapat berbuat apa-apa secara efektif.
“Dalam hal ini, rakyat jelata sudah tidak sabar menunggu kemunculan semula Beras Tempatan (BT) yang hilang tidak muncul entah ke mana sejak September 2023.
“Jika rakyat berpendapatan rendah biasa membeli BT dengan harga RM13.00/5 kg pada tahun 2021, kini mereka membeli BT bercampur BI (Beras Import) atau Beras Madani dengan harga antara RM15.50/5 kg.
Asmawar yang juga Naib Presiden 1 Putra menasihatkan kerajaan supaya pihak Kementerian menyelesaikan kedua-dua isu tersebut menerusi kajian mendalam melalui kerjasama dan ‘engagement’ dengan ramai pihak terutamanya NGO dan komuniti setempat dalam memberikan maklumat dan maklumbalas.
Baru-baru ini, dalam satu laporan media, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C sekiranya bekalan kembali pulih dan stabil.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah menamatkan subsidi berkenaan wajar dipertimbangkan berdasarkan kejayaan penamatan subsidi ayam yang memberi penjimatan RM100 juta sebulan.
Katanya, penjimatan daripada subsidi itu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain yang lebih mendesak. – malayadaily.com