Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menegaskan bahawa rakyat berhak mendapat penjelasan jelas mengenai pelantikan jawatan tertinggi Malaysia Aviation Group (MAG), susulan pengumuman rasmi bahawa Kapten Nasaruddin A. Bakar dilantik sebagai Presiden & Group CEO MAG berkuat kuasa 1 Februari 2026, manakala Bryan Foong Chee Yeong dilantik sebagai CEO Perniagaan Penerbangan yang bertanggungjawab ke atas Malaysia Airlines, Firefly dan Amal.
Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif, berkata pelantikan ini berlaku susulan persaraan Datuk Kapten Izham Ismail, tokoh yang telah lama menyumbang kepada industri penerbangan negara, dan PUTRA merakamkan penghargaan atas jasa beliau.
Bagaimanapun, Shahrulufti menegaskan bahawa Malaysia Airlines bukan sekadar syarikat komersial, tetapi aset strategik negara yang membawa nama dan maruah Malaysia ke persada antarabangsa. Beliau menuntut ketelusan penuh dalam keputusan yang melibatkan kepimpinan tertinggi syarikat milik Khazanah Nasional Berhad itu.
Menurut beliau, rakyat berhak tahu rasional sebenar di sebalik pemisahan dua jawatan tertinggi, adakah pelantikan dibuat secara telus dan berasaskan merit serta keperluan operasi, dan bagaimana struktur baharu ini memberi nilai tambah kepada syarikat serta manfaat kepada rakyat.
“PUTRA mengambil maklum penjelasan pihak MAG, tetapi persoalan pokok tetap belum terjawab — ke mana hala tuju sebenar Malaysia Airlines sebagai aset strategik negara? Apakah jaminan langkah ini tidak membuka ruang kepada penswastaan senyap atau pengasingan aset yang akhirnya merugikan kepentingan awam?” kata Shahrulufti.
Beliau menegaskan bahawa sebagai parti yang menjunjung amanah rakyat, PUTRA akan terus menyuarakan pandangan secara berhemah bagi memastikan aset negara dijaga, bukan digadai.
“Malaysia Airlines milik rakyat. Amanah ini mesti dijaga, bukan digadai,” tambahnya. – malayadaily