TERKINI

Putra sokong PN tolak MOU, gesa semua parti sealiran untuk bersatu – Ibrahim Ali

Ibrahim Ali (gambar kecil), Hamzah Zainuddin (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 17 Sept 24 – Parti Putra menyokong penuh keputusan Perikatan Nasional (PN) menolak deraf perjanjian persefahaman (MoU) antara Kerajaan PH dengan PN dan antara Ahli Parlimen PN dengan Kerajaan Madani mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Presidennya, Dato Paduka Dr Ibrahim Ali dalam satu kenyataan berkata, Putra bersetuju dengan semua asas penolakan tersebut yang antaranya boleh menjejaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak orang Melayu dan Bumiputera.

“MoU itu juga boleh menjejaskan keunggulan Islam serta nilai-nilai moral, budaya dan lain-lain amalan tradisional Malaysia.

“Alasan-alasan ini menunjukkan PN tegas dan terus mendukung serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kepada jati diri atau identiti nasional Malaysia. Ujarnya.

Ibrahim dalam kenyataan yang sama menggesa agar PN berhenti berunding mengenai peruntukan tersebut dengan PH kerana menurutnya, deraf tersebut sangat menghina PN seolah-olah Ahli-ahli Parlimen PN tiada jati diri dan boleh dihina sesuka hati.

“Putra berpendapat, tiada faedahnya untuk PN dan seluruh rakyat yang menyokongnya untuk dipermainkan atau diperdayakan oleh puak hipokrit munafik yang pegangannya jelas mendokong fahaman liberalisme dan pluralisme yang pasti ke arah menghancurkan Islam, Melayu dan Bumiputera. Katanya.

Ibrahim juga menyeru kepada parti-parti politik untuk terus bersatu menumbangkan PH secara demokrasi.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menerusi Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin telah membuat ketetapan sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

Dalam satu kenyataan, Hamzah berkata sebab utama penolakan tersebut adalah kerana deraf MOU itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan yang mana antara syarat yang dikenakan, dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kandungan penuh draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam.

Menurut Fadillah, beliau bertindak mendedahkan butiran kandungan draf MoU itu memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.

Justeru, beliau berharap tindakannya itu membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI dan mahu mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp