TERKINI

Rakyat Bebas Memilih, Demokrasi Bukan Paksaan – Ketua Penerangan Pejuang

Rafique Rashid – foto agenda daily

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2023 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh memaksa ahli UMNO untuk mengundi calon daripada parti itu mahupun calon parti gabungan kerajaan perpaduan, kata Rafique Rashid.

Ketua Penerangan Pejuang itu berkata, ini kerana amalan demokrasi yang diamalkan negara ini adalah hak memilik dengan bebas dan ia tidak boleh dipaksa.

“Anwar lupa isu paling penting, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berperlembagaan, tunjang utama demokrasi adalah hak memilih, ia tidak boleh dipaksa.

“Ya betul akan ada penyokong tegar parti, yang akan memilih pemimpin atau wakil calon daripada parti masing-masing. Tetapi bila ada gabungan yang pelik macam sekarang. Rakyat pun tentu akan lihat kenapa pelik gabungan ini, mula-mula berlawan kemudian berpeluk,” katanya.

Peguam itu berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Anwar dalam jelajah kerajaan perpaduan baru-baru ini di Kedah yang mengingatkan ahli Umno agar tidak memilih musuh kerana ia merupakan perbuatan khianat kepada agama dan negara.

Sedangkan Rafique berkata, tindakan Anwar dan Pakatan Harapan (PH) yang bekerjasama dengan Umno, adalah sebenarnya satu pengkhianatan kepada negara.

“Anwar tak boleh katakan kalau ahli Umno tidak memilih Umno ia merupakan pengkhianatan kepada agama bangsa negara.

“Adakah kita harus memilih pemimpin atau calon daripada Umno yang sebenarnya parti itu sendiri khianat agama, bangsa, dan negara,” katanya.

Beliau juga mengingatkan agar hak mana-mana rakyat untuk memilih tidak boleh disekat mana-mana pihak sekalipun seorang perdana menteri.

“Tidak boleh kita kata kebebasan memilih itu disekat walaupun hatta oleh seorang perdana menteri, di turun ke kawasan dan katakan wajib pilih parti dia atau gabungan dia.

“Anwar dan rakan di pusat katakan kerajaan perpaduan tak berganjak walaupun jika kalah di enam PRN, keputusan PRN tidak berikan kesan kepada kerajaan Pusat.

“Kalau begitu kenapa bersungguh-sungguh untuk paksa memilih hipokrasi, sekejap cakap A kemudian buat B,” tambahnya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp