11 Feb – Pejuang Johor mempersoalkan manfaat sebenar pelaburan pusat data berskala besar di negeri itu apabila mendakwa kesan langsung kepada rakyat jauh lebih kecil berbanding angka pelaburan yang sering diuar-uarkan oleh kerajaan.
Timbalan Ketua Negeri Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, Johor kini menempatkan hampir 80 peratus kapasiti pusat data Malaysia dan diangkat sebagai hab digital utama negara, namun realitinya pulangan kepada rakyat tempatan adalah terhad.
“Namun, di sebalik angka pelaburan yang diuar-uarkan, realiti menunjukkan bahawa kesan langsung kepada rakyat adalah jauh lebih kecil daripada yang digambarkan. Katanya.
Menurut beliau, daripada 42 projek pusat data yang telah diluluskan, hanya 13 projek atau sekitar 30 peratus benar-benar siap dan beroperasi sepenuhnya, manakala selebihnya masih dalam pembinaan atau sekadar wujud di atas kertas.
Beliau menjelaskan bahawa peluang pekerjaan yang diwujudkan juga tidak sepadan dengan skala pelaburan. Ketika fasa pembinaan, peluang kerja memang meningkat, namun kebanyakannya bersifat sementara dan melibatkan pekerja asing.
“Majoriti jawatan teknikal dan penyelenggaraan menawarkan gaji sekitar RM2,000–RM3,000 sebulan, manakala hanya segelintir jurutera pakar menikmati gaji premium antara RM3,000–RM5,000. Ini jelas menunjukkan bahawa manfaat pekerjaan kepada rakyat tempatan adalah minimum berbanding skala pelaburan yang besar. Ujarnya.
Selain isu pekerjaan, Pejuang Johor turut membangkitkan kebimbangan serius berkaitan penggunaan air yang tinggi oleh industri pusat data.
Menurut Zainuddin, penggunaan air kini dianggarkan mencecah 18 juta liter sehari dan dijangka meningkat selari dengan pertambahan projek baharu. Walaupun pusat data Tier 1 dan Tier 2 telah diharamkan, pusat data Tier 3 dan Tier 4 masih memberi tekanan besar kepada sumber air negeri, khususnya ketika berdepan risiko kemarau.
Sehubungan itu, Pejuang Johor menegaskan bekalan air untuk rakyat mesti diutamakan berbanding keperluan industri, selain menuntut kerajaan bersikap jujur dan telus dalam menjelaskan kelebihan serta kelemahan sebenar pelaburan pusat data.
Kerajaan juga digesa memperincikan langkah konkrit yang akan diambil semasa musim kemarau, termasuk kemungkinan mengehadkan operasi pusat data demi menjamin bekalan air rakyat.
“Rakyat Johor tidak boleh sekadar menjadi penonton kepada projek mega yang lebih menguntungkan pelabur asing berbanding masyarakat tempatan,” tegas Zainuddin. – malayadaily