KUALA LUMPUR, 21 Julai 2023 – DAP memulakan serangan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mendakwa kerjasama bekas perdana menteri bersama Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak akan bertahan lama.
Pemangku Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr Ramasamy berkata, kerjasama ketiga-tiga pemimpin itu pada dasarnya adalah untuk menjauhkan orang Melayu daripada menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, pada Ogos depan.
“Pertemuan itu walaupun hanya sementara hanyalah langkah untuk menghilangkan sokongan Melayu kepada pakatan PH-BN.
“Bagi pemimpin PN, walaupun Proklamasi Melayu, kemelayuan Perlembagaan Persekutuan dan aksi perkauman Mahathir yang lain tidak dapat difahami atau pelik, selagi ini boleh mendapat sokongan orang Melayu dalam pilihan raya negeri, mereka bersedia untuk melaksanakannya,” kata Ramasamy, dalam satu kenyataan di media sosial facebook miliknya.
Beliau mendakwa, berdasarkan pengalaman lalu, Mahathir tidak boleh dipercayai, kerana beliau pernah mengkhianati Muhyiddin dan Mohamen Azmin Ali, ketika Langkah Sheraton lalu.
“Ada perasaan bahawa sokongan orang Melayu mungkin boleh dipertingkatkan dengan membawa Mahathir ke dalam barisan pembangkang.
“Pemimpin PN tahu sangat berdasarkan pengalaman lalu, Mahathir tidak boleh dipercayai.
“Dalam Gerakan Sheraton, Mahathir pada dasarnya mengkhianati Muhyiddin dan Azmin Ali, pemimpin rampasan kuasa,” katanya.
Ramasamy juga mendakwa Mahathir boleh melakukan perkara sama sekali lagi bersama PN.
“Tiada jaminan bahawa Mahathir mungkin tidak akan melakukan perkara yang sama dengan Muhyiddin dan Hadi.
“Idea PN bekerjasama dengan Mahathir mungkin bersandarkan kepada tanggapan untuk tidak berputus asa dalam usaha mendapatkan sokongan orang Melayu pada pilihan raya negeri akan datang.
“PAS dan Bersatu tidak begitu yakin untuk mengulangi prestasi yang sama seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu pada 2022,” katanya. – malayadaily.com