TERKINI

Ramasamy yang rasis – Tun M

Mahathir Mohamad – foto Kosmo Digital

KUALA LUMPUR, 15 Jan 2024 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa bekas pemimpin DAP, P. Ramasamy sebagai rasis untuk bangsanya, India.

Ini katanya, dibuktikan menerusi penubuhan parti baharu orang India oleh bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu selepas tidak lagi berada dalam parti dan kerajaan negeri.

“Ramasamy sering menuduh saya rasis, tetapi apabila dia tinggalkan parti berbilang kaum (DAP), dia menubuh parti orang keturunan India.

“Dan apabila orang keturunan India tidak terdapat dalam kabinet kerajaan, dia tegur kerajaan.

“Jikalau dia sendiri tidak utamakan orang keturunan India, apa salahnya jika tidak ada menteri keturunan India dalam kabinet,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tun Dr. Mahathir berkata demikian mengulas tindakan Ramasamy menubuhkan parti baharu untuk masyarakat India iaitu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Menurutnya, walaupun tidak ada menteri dari kalangan keturunan India, menteri bukan kaum itu juga adalah menteri Malaysia.

“Sebagai orang Malaysia, tidak ada sebab kenapa tidak adanya menteri keturunan India. Ia bukan masalah.

“Jika kerana tidak adanya menteri keturunan India dalam kabinet ternampak tidak adil, sebabnya tentulah kerana Ramasamy masih setia kepada kaum keturunan India.

“Ini bermakna Ramasamy rasis yang berjuang bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga untuk bangsa keturunan India,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp