KUALA LUMPUR, 24 Jun 2023 – Universiti Teknologi Petronas (UTP) kini universiti nombor satu di Malaysia, setelah muncul sebagai universiti swasta nombor satu ASEAN dalam Ranking Universiti Asia Times Higher Education (THE) 2023.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, UTP berkata ia merupakan pencapaian bersejarah kepada institusi pengajian tinggi negara itu yang melonjak 32 anak tangga ke tangga 63 tahun ini daripada kedudukan ke-95 pada tahun lepas.
Dalam kenyataan sama Naib Canselor UTP Professor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata pencapaian itu menunjukkan komitmen UTP yang tidak berbelah bagi kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi yang memberi kesan serta mewujudkan pengalaman penuntut yang luar biasa selain terus mendukung standard yang tinggi untuk menghasilkan impak yang bertahan lama dalam arena akademik dan penyelidikan sejagat.
Kami amat bangga dengan peningkatan ketara UTP dalam Ranking Universiti Asia THE 2023. Pencapaian ini adalah bukti kepada dedikasi dan kerja keras fakulti, staf dan penuntut kami. Tambahan pula, kami amat berterima kasih kepada Petronas dan rakan kongsi kami atas pencapaian ini yang berjaya dicapai kerana sokongan mereka yang tidak henti-henti dan berterusan,” katanya.
Mohamed Ibrahim berkata UTP kekal komited untuk mengasah bakat pemimpin masa depan, memacu inovasi, mempromosi kelestarian dan usaha berterusan mereka ke arah kecemerlangan akan menyumbang kepada pembangunan graduan berkemahiran tinggi yang sedia untuk memberi kesan penting di peringkat tempatan dan sejagat.
“Sebagai sebahagian daripada aspirasi kami ke arah kelestarian sejagat yang unggul, kami akan terus menyokong inisiatif peralihan tenaga Petronas ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang 2050,” katanya. – Bernama