TERKINI

Rasuah agong RM1 bilion, Tun M minta Anwar kemuka bukti

Mahathir Mohamad – foto Merdeka Times

KUALA LUMPUR, 10 Jan 2024 – Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta pihak yang membuat kenyataan menuduhnya telah merasuah Yang di-Pertuan Agong dari RM500 juta hingga RM1 bilion tampil kemukakan bukti.

Mantan Perdana Menteri berkata, hanya mereka yang bersifat pengecut sahaja akan melemparkan dakwaan seperti itu dengan menyembunyikan identiti.

“Seperti yang semua orang tahu Anwar pernah berkata saya ada berbilion ringgit. Diminta tunjukkan bukti saya ada duit, sampai sekarang dia belum dapat buktikan saya ada duit.

“Sekarang kenyataan bahawa saya merasuah Agong dengan RM1 bilion bermakna saya ada wang.

“Jika Anwar tidak dapat membuktikannya sehingga kini mungkin pencetus kenyataan itu harus menunjukkan kepada Anwar bahawa saya mempunyai wang untuk merasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, pihak yang melemparkan fitnah tersebut seolah-olah turut mencadangan agar Yang di-Pertuan Agong ditangkap kerana menerima rasuah daripada beliau.

“Adakah beliau mempunyai bukti bahawa Agong mengambil 1 bilion ringgit daripada saya? Sila juga buktikan bahawa saya mempunyai wang.

“Dalam rasuah kedua-dua pemberi dan penerima akan bersalah,” katanya.

Beliau turut menempelak Setiausaha Politik Kanan kepada Anwar, Shamsul Iskandar kerana menyarankan pengharaman terhadap cakap-cakap mengenai penyingkiran perdana menteri.

“Kita tidak boleh bercakap tentang 3R. Kita tidak boleh mempolitikkan bajet. Sekarang kita tidak boleh bercakap tentang penggulingan PM.

“Jadi tiada siapa boleh bercakap tentang apa-apa. Dan inilah kerajaan yang dipimpin oleh seorang lelaki yang sebelum ini bercakap tentang reformasi, tentang kebebasan dan lain-lain,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp