KUALA LUMPUR, 18 Dis 24 – Beberapa laporan Polis telah dibuat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga orang menteri kabinet termasuk bekas Peguam Negara, berhubung laporan RCI Pulau Batu Puteh.
Dalam satu kenyataan media, Peguam Rafique Rashid Ali berkata, laporan Polis tersebut telah dibuat di beberapa ibu pejabat Polis Di Raja Malaysia( PDRM) iaitu Wangsa Maju, Dang Wangi, Tampin, Subang Jaya, Cheras, Kajang dan Georgetown oleh beberapa rakyat Malaysia yang prihatin mengenai isu RCI Batu Puteh.
“Laporan-laporan polis ini dibuat terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim, Dato Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail, Sdr. Anthony Loke, Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu dan Tan Sri Dato Seri Mohamed Apandi Bin Ali. Kata Rafique.
Menurutnya, laporan Polis ini dibuat adalah berdasarkan ucapan Perdana Menteri pada 06.12.2024 yang telah bertindak melabel mereka yang terlibat dalam kes Batu Puteh sebagai “pengkhianat ” walaupun tiada dalam mana-mana bahagian laporan RCI itu menyatakan sebegitu rupa.
“Tindakan ini adalah cubaan menipu dan menyeleweng Laporan RCI serta membuat tuduhan palsu secara sengaja untuk menimbulkan ketakutan dan kegentaran pada orang awam serta ketenteraman awam.
“Tindakan tiga(3) Menteri dalam Kabinet pada masa isu Batu Puteh diputuskan secara kolektif bersetuju dengan penarikan kes di Mahkamah Antarabangsa tetapi kini selepas enam(6) tahun dari kejadian mengubah pendirian menampakkan unsur-unsur penipuan serta pembohongan. Ujarnya.
Tambah Rafique, pengadu-pengadu bagi laporan polis ini menyatakan mereka percaya wujudnya pelanggaran undang-undang oleh individu-individu yang dinyatakan di perenggan 4 dan 3 di atas, antara lainnya bagi kesalahan-kesalahan jenayah dibawah Seksyen 415(b), Seksyen 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan yang sama, Khairuddin Abu Hassan mengesahkan beliau telah membuat laporan Polis yang sama dan turut melampirkan salinan laporan Polis tersebut.
“Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai isu ini berniat jahat dari hari mula penubuhannya.
“Pada pendapat peribadi saya badan ini (RCI) berniat jahat semata-mata untuk menganiayai Tun Dr Mahathir Mohamad atas alasan ‘dendam politik’ Anwar Ibrahim semata-mata. Ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, sebagai pendedahan terhadap kelemahan yang berlaku dan menganggap ia satu pengkhianatan besar terhadap negara.
“Tetapi nampaknya ada kegagalan telah didedahkan dan ia bukan perkara ringan. Apa-apa kesalahan yang melibatkan soal menyerahkan kedaulatan, dianggap satu pengkhianatan besar kepada negara. Kata Anwar. – malayadaily.com