TERKINI

RON95: Ramai khuatir dengan langkah kerajaan – Pejuang

Mohamad Yusrizal Yusoff – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 8 Nov 24 – Kerajaan diminta menjelaskan bagaimana data pengguna diperolehi untuk menentukan seseorang itu layak atau tidak menerima subsidi petrol RON95.

Pengerusi Biro Kepenggunaan parti Pejuang, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata ramai khuatir sistem ini boleh menyebabkan ada pengguna yang tercicir.

“Bagaimanakah pihak kerajaan akan mendapat data pengguna samada layak ataupun tidak? Adakah data ini menggunakan sistem PADU atau data daripada DOSM?

“Kita khuatir terdapat pengguna yang tercicir dalam mendapatkan penyasaran subsidi ini. Katanya.

Menurutnya, peniaga-peniaga kecil juga turut menggunakan RON95, yang maka sekiranya kumpulan ini membeli RON95 dengan harga pasaran, maka kos akan meningkat dan harga perkhidmatan juga akan turut meningkat hingga membebankan pengguna.

“Bagaimana pula dengan syarikat yang menggunakan RON95 ini seperti peniaga-peniaga kecil dan sederhana? Sekiranya mereka menerima RON95 pada harga pasaran, sudah tentulah produk dan perkhidmatan mereka akan naik harga yang akan menjadi kesan kepada pengguna.

“Sekiranya menggunakan kaedah kedua sudah tentulah rakyat akan menanggung terlebih dahulu bebanan kenaikkan RON95 sehinggalah mereka mendapat tuntutan balik subsidi mereka. Ini juga akan menaikkan inflasi kerana apabila kos bahan api meningkat sudah tentulah bahan api juga meningkat. Ujarnya.

Yusrizal berpendapat bahawa implementasi yang dicadangkan oleh pihak kerajaan adalah tidak jelas kerana dasar yang dibuat tidak melalui satu kajian terperinci.

“Rakyat begitu risau dengan keadaan mereka dari segi ekonomi isi rumah. Pada masa sekarang dasar yang dibuat tidak melalui satu kajian terperinci dan sememangnya akan menjadi masalah pada masa hadapan iaitu berlaku keciciran dalam penerimaan subsidi RON95, (meyebabkan) kenaikkan harga barang dan perkhidmatan serta kenaikkan kos sara hidup. Ujarnya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi berkenaan, kerana ingin menjimatkan sehingga RM8 bilion, hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya ketika ini.

Namun demikian, tindakan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025 telah menimbulkan polemik dan kegusaran orang ramai.

Perkara ini menyebabkan kegelisahan kerana rakyat beranggapan ia akan menambah beban kepada mereka, lebih-lebih lagi dalam ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup tinggi pada masa kini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp