TERKINI

Rumah Ngeh Koo Ham dilempar ‘molotov cocktail’, kereta miliknya musnah terbakar

Rumah Ngeh terbakar – foto Malaysia Post

KUALA LUMPUR, 10 Jan 2024 – DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyerang kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dengan membaling ‘molotov cocktail’ awal pagi ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook, akibat letupan itu, sebuah kereta milik Ahli Parlimen DAP itu musnah terbakar.

“Awal pagi tadi saya dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Beruas, Dato’ Ngeh Koo Ham rumahnya diserang dengan ‘molotov cocktail’ sehingga menyebabkan kebakaran yang memusnahkan salah sebuah keretanya.

“Anggota Bomba sempat memadamkan api dan mengelak kebakaran tersebut merebak ke dalam bangunan kediamannya.

“Laporan telah dibuat dan kami yakin polis akan bertindak tegas dan cepat untuk menyiasat serta menangkap pihak yang bertanggungjawab dalam jenayah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tindakan itu dipercayai daripada kenyataan Koo Ham pada 28 Disember lalu, mencadangkan bukan Muslim dan juga seorang ahli Badan Peguam yang pakar perlembagaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang mengkaji undang-undang Syariah dan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu mencetuskan kritikan keras daripada pemimpin parti Melayu termasuk kalangan parti bukan Melayu dalam kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, pada 30 Disember lalu, Ahli Parlimen DAP itu memohon maaf dengan menyatakan, beliau tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu.

Mengulas lanjut, Anthony Loke yang mewakili seluruh pimpinan DAP berasa simpati dan bersolidariti dengan keluarga Koo Ham dalam kejadian keganasan tersebut.

“DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ganas ini yang mengancam keselamatan nyawa keluarga beliau dan menegaskan apa sahaja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sama sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat kita.

“DAP juga menyeru Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis mengambil perhatian serius kejadian ini dengan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp