TERKINI

Saman Fitnah Tun M : Peguam Anwar Mohon 1 Bulan, Mahkamah Tetapkan Hanya 2 Minggu Hingga 14 Jun

KUALA LUMPUR, 2 Jun 2023 – Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan dan memberi masa selama dua minggu kepada peguambela Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menfailkan pembelaan kes saman fitnah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut peguam Mahathir, Rafique Rashid (Gambar), dua hari sebelum pengurusan kes ini naik di mahkamah, peguambela Anwar meminta tempoh masa selama sebulan untuk menfailkan pembelaan kes, namun pasukan peguambela Mahathir membantah.

“Kes ini sepatutnya naik untuk pengurusan kes pertama pada 31 Mei 2023, dua hari sebelum 31 Mei iaitu 29 Mei (Isnin), peguam Anwar tulis kepada mahkamah dan salinan kepada kita untuk mohon mahkamah tempoh tambahan 1 bulan untuk failkan pembelaan.

Sejurus selepas itu beliau menemui Tun pada hari yang sama dan Tun mengarahkan beliau untuk membantah dan meminta mahkamah menetapkan pembelaan kes secepat mungkin.

“Kami dapat arahan daripada Tun, pada hari yang sama untuk kita minta ditetapkan pembelaan secepat mungkin.

“Apabila dua-dua pihak hadir di mahkamah secara atas talian pada 31 Mei, kami sebut benda yang sama.

“Setelah mengambil kira bantahan dipihak peguam Tun, mahkamah hanya memberikan lanjutan sehingga 14 Jun sahaja. Ujarnya.

Sementara itu, Rafique menerusi hantaran tiktok menjelaskan mengapa Tun mahu kes ini dipercepatkan adalah kerana pada Mac apabila Tun memulakan tuntutan terhadap (Anwar) permohonan maaf secara terbuka, Anwar menerusi peguam beliau telah memohon tambahan masa, Tun telah memberikan tambahan masa tersebut, tapi akhirnya sehingga hari ini masih kita tidak lihat sebarang pembelaan.

“Mahkamah telah memberi kami masa sehingga 6 Julai 2023 untuk menfailkan jawapan kepada pembelaan dan kita akan terus berjumpa di mahkamah, dihadapan hakim pada 7 Julai 2023.

Menurut Rafique lagi, Tun tetap akan meneruskan dengan tuntutan ini selagi mana Anwar tidak memohon maaf.

“Tun mengambil perkara ini sebagai suatu perkara yang serius, kerana selama ini Tun menganggap dia (Anwar) dalam pembangkang, tetapi (kini) sebagai seorang perdana Menteri, kata-kata seorang perdana Menteri itu mestilah tertib, teratur, terjaga mengikut undang-undang dan sebagainya. Ujar beliau.

Sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi peguamnya telah memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Ucapan fitnah tersebut berlaku pada 18.3.2023 apabila defendan (Anwar Ibrahim) telah membuat ucapan di sebuah program yang bernama Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” di Stadium Melawati, Shah Alam. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp