TERKINI

Sarawak Tiada Hasrat Wujud Matawang Sendiri, Primier Sarawak

Abang Johari Tun Openg – Foto Utusan

KUALA LUMPUR, 3 Sept 2023 – Kerajaan Sarawak ketika ini tidak berhasrat untuk memperkenalkan mata wang sendiri, sebaliknya kekal menggunakan ringgit.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian mendalam juga perlu dilaksanakan sebelum membuat sebarang ketetapan termasuklah cadangan untuk memperkenalkan mata wang negeri itu.

“Isu ini yang agak susah untuk diperjelaskan, saya tidak tahu mengenai pandangan Nanta Linggi (Datuk Seri Nanta Linggi).

“Kita kena perlu ada kajian yang lebih mendalam terlebih dahulu, tetapi, kita sudah ada mata wang Malaysia. Kita ikut mata wang ringgit Malaysia lah,” katanya ringkas seperti dilapor portal berita tempatan selepas hadir merasmikan Program Jelajar Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Muzium Budaya Borneo (BCM), di Sarawak pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang membayangkan kemungkinan Sarawak bakal memperkenalkan mata wang sendiri susulan ekonomi yang tidak menentu di Malaysia.

Nanta yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata demikian ketika siaran podcast khas dengan Bual Studio dan Reka Sound untuk Merdeka dan Hari Malaysia bertajuk ‘Dari Malaya ke Malaysia: 60 Tahun’ yang disiar Sinar Daily pada Jumaat.

Ujarnya, ia antara langkah yang boleh dipertimbangkan jika ekonomi kurang memberangsangkan berterusan.

Sementara itu, pada 2010 lalu, Kelantan melancarkan penggunaan emas dan perak yang dikenali mata wang syariah emas dinar dan perak dirham.

Pelancaran tersebut dibuat Menteri Besar Kelantan ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Langkah itu dibuat untuk melihat Kelantan mempelopori penggunaan mata wang syariah dalam semua urusniaga, termasuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, masih banyak soal teknikal yang perlu diatasi oleh kerajaan negeri sebelum dapat melaksanakannya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp