TERKINI

Wan Suraya, Ketua Audit Negara Baharu

Gambar hiasan – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 13 Jun 2023 – Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Integriti Malaysia (IIM), dilantik sebagai Ketua Audit Negara baharu, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan perundingan dengan Majlis Raja-Raja.

“Dimaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 105(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa mulai 13 Jun 2023.

“Pelantikan beliau adalah berdasarkan kepada kepimpinan dan pengalaman luas sepanjang 29 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatan Ketua Audit Negara sebelum ini kosong selama hampir empat bulan selepas Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid tamat kontrak pada Februari lalu.

Malah, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini menggesa kerajaan segera mengisi jawatan Ketua Audit Negara dengan melantik individu berlatar belakang dalam perakaunan dan pengauditan.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut berharap kerajaan menghentikan amalan pelantikan bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian bagi mengisi jawatan berkenaan. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp