TERKINI

Selepas Kleptokrasi, Mahathir Perkenal Istilah “Kakistokrasi”

Mahathir Mohamad, Kota Bharu – Foto Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

KOTA BHARU, 22 Julai 2023 — Selepas kleptokrasi yang bermakna negara yang dikuasai oleh pencuri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan pula istilah “kakistokrasi” untuk kerajaan pusat.

Menurut beliau ia membawa makna negara yang diperintah oleh orang yang tidak tahu memerintah.

“Yang mereka tahu bohong. Nak buat itu dan ini, duit pun tak ada nak buat apa?” katanya di hadapan 100,000 rakyat Kelantan pada perhimpunan raksasa Majlis Munajat Rakyat Kelantan “Pakat Pertahan” anjuran Pas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Menurut kamus Oxford dan Wikipedia, istilah kakistocracy membawa erti kerajaan yang ditadbir oleh mereka yang teruk, tidak berkelayakan, atau mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata beliau kagum dan gembira melihat begitu ramai orang yang berhimpun pada malam itu.

“Saya dah berkecimpung dalam bidang politik selama 80 tahun tapi inilah perhimpunan paling besar yang pernah saya sertai,” katanya sambil disambut dengan takbir Allahuakbar.

Turut hadir ialah Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini merupakan kali pertama ketiga-tiga pemimpin itu berhimpun di atas satu pentas, yang menurut pemerhati politik sebagai pembuka tirai kepada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. – bebasnews

Facebook
Twitter
WhatsApp