TERKINI

Jangkaan Zahid ‘Pergunakan’ UMNO Bebaskan Diri, Benar – Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Sept 2023 – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau menyuruh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membubarkan Umno kerana tidak mahu melihat parti itu digunakan sebagai alat untuk presiden Umno itu membebaskan dirinya daripada pertuduhan di mahkamah.

Negarawan itu berkata, jangkaannya ternyata benar apabila Zahid menggunakan Umno untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri, selepas PRU15.

“Benar saya suruh Zahid bubar Umno kerana saya yakin dia akan guna Umno sebagai alat, sebagai bahan rundingan atau bargaining chip untuk mengelak dirinya dari didakwa atas kesalahan-kesalahan rasuahnya

“Hari ini terbukti jangkaan saya benar. Dia telah guna Umno untuk memastika Anwar jadi perdana menteri walaupun semasa berkempen di dalam PRU15 dia telah mendesak penyokong Umno supaya menolak Anwar dan DAP,” kata Mahathir, dalam satu kenyataan di media sosialnya hari ini.

Bekas ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau juga percaya Zahid menggunakan Umno semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, agar kesnya digugurkan, namun apabila ahli Parlimen Pagoh itu menolak, Umno menarik balik sokongan sehingga kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu jatuh.

“Selepas itu dia cuba menerusi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi beliau tidak berani nak lakukan kerana pendapat awam amat kuat terhadap Zahid.

“Kerana itu Ismail dipaksa bubar parlimen dan adakan pilihanraya lebih cepat,” kata Mahathir.

Mahathir sehubungan itu melihat, Anwar turut menggunakan isu itu seolah-olah untuk menunjukkan Zahid dianiya oleh beliau.

“Dia kata kes-kes terhadap Zahid dilakukan secara tergesa-gesa. Di masa yang sama Anwar cuba kaitkan nasihat saya kepada Zahid supaya bubarkan Umno dan apabila Zahid tidak mahu, maka dia dihadapkan dengan kes-kes rasuah tersebut,” kata Mahathir.

“Bagi saya, setelah diserang bertubi-tubi, kenyataan Anwar bertujuan untuk mempertahan keputusan pendakwa yang menarik balik kes terhadap Zahid dan di masa yang sama membuat andaian ada unsur menganiaya Zahid.

“Kerana itu dia cuba kaitkan isu saya menyuruh Zahid bubar Umno dan kerana tidak mahu, maka dia dituduh dengan kes-kes itu,” katanya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp