TERKINI

SPRM tak boleh nyahbeku akaun Aman Palestin, Azam Baki jawab Tun M

Gambar hiasan – foto Berita Harian

PETALING JAYA, 1 Dis 2023 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh sewenang-wenangnya menyahbekukan akaun 41 aset Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) sehingga semua siasatan selesai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kita masih menyiasat sumber sebenar transaksi dan tuntutan yang diperoleh Aman Palestin.

Beliau menegaskan, siasatan ini bagi memastikan dana diperoleh hasil derma awam yang bernilai jutaan ringgit ini digunakan dengan telus. 

“Sebagai badan agensi pencegahan rasuah, sudah pasti SPRM memandang serius kes ini kerana ia membabitkan kepentingan awam.

“Kes ini juga menunjukkan bahawa derma daripada orang awam tidak boleh digunakan demi kepentingan individu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, agar SPRM membenarkan Aman Palestin Berhad menggunakan RM10 juta daripada akaun yang dibekukan untuk membantu penduduk di Gaza.

Dr. Mahathir semalam berkata, beliau bimbang penderitaan penduduk akan bertambah menjelang musim sejuk, selepas berdepan serangan dan kekejaman Israel.

Kelmarin, SPRM bersedia mendedahkan kepada mahkamah justifikasi pembekuan 41 aset Aman Palestin.

Azam menegaskan pihaknya menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak.

Katanya, terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka berasa ada keperluan untuk berbuat demikian.

Tindakan pembekuan aset bagi membantu siasatan adalah berdasarkan Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang.

Ia adalah tindakan yang biasa dijalankan dalam mana-mana siasatan sekiranya ada keperluan.

Terdahulu, Aman Palestin yang memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak minggu lalu.

Peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, sekiranya agensi penguat kuasa itu gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan membeku sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp