KUALA LUMPUR, 26 Nov 2023 – Peguam Negara disaran membuat semakan hukuman mati kepada penjara sepanjang hayat untuk membolehkan Sirul Azhar Umar yang melarikan diri ke Australia di bawa pulang ke Malaysia, kata peguam.
Haniff Khatri berkata, sekiranya semakam hukuman itu berjaya, Australia berkemungkinan akan membenarkan untuk Sirul dihantar pulang.
“Namun di atas latar belakang fakta kes ini, di mana Sirul adalah pelarian hukuman undang-undang tempatan, maka adalah disyorkan supaya peguam negara di atas bidangkuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan membuat permohonan untuk semakan bagi tujuan pengurangan hukuman beliau daripafa mati kepada pemenjaraan sepanjang hayat,” katanya, dalam satu kenyataan.
Sekiranya berjaya, proses ekstradisi dari Australia tidak akan menghadapi kesukaran perundangan Australia kerana hukuman Sirul jika berjaya disemak, tidak ada lagi hukuman mati, kata Haniff.
Tambahnya, semua pesalah hukuman mati yang lain di Malaysia, sudahpun dibenarkan membuat semakan pengurangan hukuman mandatori mati kepada hukuman alternatif pemenjaraan sepanjang hayat.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan pihak berkuasa Australia menghadapi kesukaran berkaitan keberadaan Sirul di Australia, kerana dia berafay di luar pusat tahanan dan berada dengan masyarakat biasa Australia.
“Yakinilah, konsep keadilan di negara kita sememangnya mempunyai jalan terbaik mencapai keadilan terbaik, sekiranya syor dan cadangan di atas diikuti dan dilaksanakan oleh peguam negara kita, pada kadar sesegera mungkin,” kata Haniff. – malayadaily.com