TERKINI

Semua Jabatan, Agensi KPKM Siap Sedia Hadapi Cuaca Panas – Mohamad Sabu

foto dunia pertanian Malaysia

KLANG, 16 April 2023 – Semua pegawai di jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersiap sedia serta sentiasa memantau dari semasa ke semasa keadaan cuaca panas yang dijangka menjejaskan sektor pertanian negara.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini keadaan stok pertanian negara masih terkawal dan pihaknya akan memastikan khususnya barangan keperluan harian mencukupi.

“Kita pantau keadaan itu dari semasa ke semasa. Ini memang kita pantau dalam bentuk harian. Pegawai kita antaranya di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) setiap masa pantau supaya stok ada dan mencukupi,” katanya.

Mohamad berkata kementeriannya juga turut merangka pelan kecemasan sekiranya berlaku situasi kekurangan bekalan makanan berikutan situasi cuaca panas ketika ini.

“Kita sedia juga (ada pelan) kecemasan kalau perlu import (barangan pertanian) jika berlaku sebegitu rupa. Kita sudah ada tempat (dari mana nak diimport) kalau perlu buat dalam keadaan segera,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp