TERKINI

Semua Projek Rumah Mampu Milik Baharu Akan Jalani Ujian Dan Analisis – Menteri

foto iproperty

BANGKOK, 30 Mac 2023 – Semua projek perumahan mampu milik baharu di Malaysia akan menjalani ujian dan analisis termasuk ujian terowong angin dan analisis laluan matahari bagi menyediakan rumah yang selesa didiami oleh golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40), kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata ujian lain termasuk analisis keselesaan termal dan indeks bangunan hijau (GBI)

Program baharu itu akan dimulakan dengan projek rumah mampu milik seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Belia Madani, Rumah Mesra Rakyat dan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

“Saya mahu buat perubahan ini. Kami memilih kualiti daripada kuantiti. Oleh itu mereka bertanggungjawab menjalankan analisis dan ujian.

“Saya membayangkan projek ini kelak meliputi sistem penuaian air hujan dan panel solar. Selain itu, GBI akan membantu menggalakkan kemampanan dan meningkatkan kesedaran tentang isu alam sekitar… Ini akan menjadi pencetus perubahan,” katanya kepada Bernama.

Nga berkata kementerian itu komited untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), dan ini akan dibina mengikut lima prinsip penting: – kebolehcapaian, kebolehdiaman, ketersambungan, komuniti yang baik dan kemampanan untuk memenuhi keperluan perumahan masa kini dan masa hadapan.

Beliau berkata kerajaan, agensinya dan sektor perniagaan telah membina lebih 280,000 rumah mampu milik setakat ini.

“Masih ada 220,000 unit lagi untuk disediakan. Mulai sekarang, kami akan menukar konsep rumah mampu milik kami supaya mematuhi lima petunjuk utama tersebut,” katanya. – sumber BERNAMA

Facebook
Twitter
WhatsApp