KUALA LUMPUR, 31 Julai 2023 – Pembaikan dan pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri adalah wajar kerana bangunan itu sudah usang dimakan waktu.
Bekas pembantu politik Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad menjelaskan, bangunan itu mengalami kebocoran di beberapa bahagian yang menyebabkan bumbung, siling, dinding, dan lantainya mengalami kerosakan.
“Saya diberitahu peralatan dapur juga tidak boleh digunakan di samping masalah pendawaian yang telah usang dan perlu diganti baru.
“Kebanyakan perabot juga telah tiada. Ini kerana terdapat kelemahan dalam sistem inventori yang menyebabkan pegawai tidak dapat memastikan sama ada perabot di Seri Perdana milik kerajaan atau milik peribadi mantan perdana menteri keenam, iaitu Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, menjawab Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan bangunan itu dibaik pulih dalam keadaan negara berhadapan pandemik.
Anwar berkata dana RM38 juta untuk kerja pembaikan di Seri Perdana lebih wajar digunakan untuk rakyat yang bergelut dengan pandemik Covid-19 ketika itu.
Marzuki menjelaskan, sewaktu proses itu berjalan, Muhyiddin menekankan perlunya ada inventori lengkap membabitkan harta kerajaan di Seri Perdana agar tiada mana-mana perdana menteri mengambil perabot atau hiasan di situ selepas bersara, kecuali ianya barangan peribadi.
Muhyiddin juga katanya menekankan keperluan mengadakan satu akta khas memelihara bangunan warisan itu agar tidak boleh diubahsuai sesuka hati.
“Alhamdulillah, setelah dibaiki dan dikembalikan kepada keadaannya yang asal, Seri Perdana boleh didiami oleh Perdana Menteri Malaysia dan digunakan untuk pelbagai acara rasmi.
Perdana menteri ke-10 juga banyak mengadakan majlis rasmi dan acara keraian di Seri Perdana,” katanya, merujuk kepada Anwar. – malayadaily.com