TERKINI

SG4 idea Tun M bangunkan potensi ekonomi negeri

Marzuki Yahya (3 dari kanan) – foto D8 Org

KUALA LUMPUR, 23 Okt 2023 – Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan pencetus kepada idea kerjasama empat negeri ditadbir PAS, atau SG4, bagi membangunkan potensi mereka yang ketinggalan dari sudut ekonomi, kata Datuk Wira Marzuki Yahya.

Ketua Setiausaha Sekretariat Proklamasi Orang Melayu itu berkata, bekas perdana menteri melihat empat negeri itu, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Kelantan mempunyai potensi dan kelebihan dari sudut geografi.

“SG4 ini empat negeri jajaran Melayu yang termasuk dalam kumpulan pembangkang, kumpulan tidak sealiran kerajaan pusat, kedudukan empat negeri ini agak terpinggir.

“Walaupun dari segi geografi negeri ini ada kelebihan tertentu tapi soal ekonomi agak terkebelakang. Idea datang daripada Mahathir, beliau sendiri mahu membantu bangunkan negeri Melayu ini,” kata Marzuki, kepada Malayadaily.

Marzuki berkata, selepas cadangan tersebut diutarakan Mahathir, kepimpinan SG4 menyambut baik perkara itu.

“Selepas berbincang menteri besar dan pemimpin PN mereka sambut baik jadikan Mahathir jadi penasihat bantu bangunkan empat negeri,” katanya.

Beliau berkata, antara peluang yang boleh diteroka oleh SG4 adalah eko pelancongan yang mana boleh dilaksanakan di kesemua negeri tersebut dan hasilnya mampu dinikmati penduduk tempatan.

Melalui sektor tersebut, Marzuki berkata, empat negeri tersebut berupaya menjadi rakan kongsi antara mereka.

“Eko pelancongan yang boleh dinikmati penduduk tempatan. Pasaran untuk empat negeri. Perlis mempunyai 280,000 populasi, pasaran untuk eko pelancongan. Kalau gabung empat negeri jadi lebih 280,000 populasinya.

“Cara bagaimana nak gabungkan ekonomi, ialah dari segi dalamannya empat negeri boleh jadi rakan kongsi dalam pembangunan setiap negeri,” katanya.

Selepas pertemuan pertama, beliau berkata SG4 mengenalpasti terdapat keperluan untuk menambah baik cara kerja bagi mencapai hasrat matlamat tersebut.

“Dah jumpa kepimpinan empat negeri bersama exco dan pegawai pentadbiran, itu fasa pertama, akan ada satu dua perkara nak ‘synchronise’ cara kerja, yang utama bagaimana nak lihat soal ekonomi rakyat tempatan.

“Dalam lawatan kita dapati banyak potensi boleh diketengah tanpa mengubah landskap negeri tapi jadi lonjakan ekonomi,” katanya.

Namun begitu, terdapat juga beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksanakan sebelum ianya membuahkan hasil seperti membabitkan isu air Kelantan dan penambahbaikan kawasan penanaman padi di Kedah.

“Buat masa ini seperti di Kelantan, kena atasi masalah air. Mahathir beri cadangan beberapa cara dan pendekatan boleh diambil.

“Begitu juga Kedah ia satu negeri penghasilan padi yang besar. Perlu ditambah luas pengeluaran padi. Boleh jadi negeri penyumbang jaminan keselamatan makanan,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp