TERKINI

SG4 : Tiada Keperluan Lantik Tun M Untuk Tarik FDI – Ismail Sabri

State Government 4 – foto Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 25 Sept 2023 – Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada keperluan untuk melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat ekonomi kepada empat negeri yang dikuasai PAS, dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Ismail berkata peranan itu tidak perlu memandangkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak pun mengehadkan usahanya hanya untuk negeri-negeri yang sealiran dengan Putrajaya.

“Bagi kerajaan persekutuan apa sahaja yang masuk untuk pelaburan itulah manfaatnya kepada kita seluruh negara.

“Jadi, kerajaan persekutuan tak ada kata ‘Kelantan tak boleh’ sebab dia pembangkang. Kita tak pernah buat begitu dari segi menarik pelaburan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu.

Ismail berkata kerajaan persekutuan bawah pentadbiran yang diterajui Barisan Nasional juga tidak mengabaikan Selangor dan Pulau Pinang dalam hal berkaitan FDI, meskipun dua negeri itu ditadbir oleh gabungan pembangkang selama beberapa penggal.

“Sebenarnya kalau tak ada SG4 pun, kerajaan persekutuan tak pernah melupakan negeri (pembangkang). Tak perlu pun ada,” katanya merujuk negeri dipimpin PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

Baru-baru ini, menteri besar empat negeri bersetuju membentuk “State Government 4” atau SG4 dengan Mahathir memainkan peranan sebagai penasihat tidak rasmi, berkait urusan pentadbiran dan hubungan bersama pelabur asing. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp