TERKINI

Siapa Tangan Ghaib Di Belakang Halim Saad, Soal Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan (kanan) Halim Saad (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2023 – Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mempersoalkan tindakan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad mengemukakan saman terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad selepas perkara yang didakwanya itu berlaku lebih 20 tahun lalu.

Khairuddin malah berpandangan, tindakan Halim itu juga mencetuskan tanda tanya memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bakal berlangsung pada 12 Ogos, depan.

“Kenapa setelah 22 tahun di saat menghadapi PRN di 6 negeri baru Halim Saad mengungkit mengenai isu lapuk tersebut?

“Mengapa Halim Saad tak buat sebarang bantahan di peringkat awal kerajaan ambil-alih Renong dan UEM?,” soal Khairuddin, dalam satu ciapan di Twitter miliknya, baru-baru ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat individu tertentu dan belakang Halim yang mencetuskan tindakan tersebut.

“Apa agenda Halim Saad? ‘Tangan Ghaib’ mana di belakang Halim Saad?,” soal Khairuddin lagi.

Khairuddin turut melampirkan petikan berita berkaitan tindakan saman Halim itu yang mana selain Mahathir, turut dikemukana kepada bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Saman itu dikemukannya atas dakwaan mengalami kerugian selepas diarahkan oleh kerajaan untuk menjual saham miliknya dalam Renong Bhd, 23 tahun lalu.

Bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong itu memfailkan saman terbabit pada 2 Ogos lalu melalui firma guaman Tetuan Malik Imtiaz Sarwar.

Tuntutan itu katanya berdasarkan pelanggaran haknya oleh kerajaan Malaysia ketika diarahkan Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus dalam Renong Berhad daripada United Engineers Malaysia Berhad (UEM) menurut Opsyen Jual yang dilaksanakan ke atasnya oleh UEM pada Disember 2000.

Ketika itu Mahathir atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Nor Mohamed pula atas kapasitinya sebagai Penasihat Ekonomi Khas kepada perdana menteri.

Beliau berkata, pelanggaran itu seperti termaktub dalam Perkara 8 (1) dan Perkara13 (1) dan atau (2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau diarahkan dua individu tersebut untuk tidak meneruskan pengambilalihan UEM yang akan dilaksanakan bersama Renong.

Sebaliknya, beliau dikehendaki oleh defendan pertama dan kedua untuk menyokong inisiatif kerajaan melalui anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, Danasaham Sdn Bhd untuk mengambil alih UEM melalui Tawaran Am.

Menurutnya lagi, perancangan kerajaan untuk mengambil alih UEM dan akhirnya diswastakan tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan yang saya bersetuju untuk berikan.

Disebabkan itu katanya, beliau kehilangan kawalan ke atas Renong yang juga bermakna kehilangan kawalan secara tidak langsung ke atas UEM dan asetnya yang sangat bernilai termasuk tetapi tidak terhad kepada Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Elite Expressway dan Laluan Kedua Malaysia (LINKEDUA).

“Saya mengalami kerugian kewangan akibat daripada tindakan defendan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam tuntutan samannya pula, Halim berkata pada masa yang material, Renong memegang 37.92 peratus saham UEM dan beliau pemegang saham individu tunggal terbesar dan mengawal syarikat itu (Renong). – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp