TERKINI

SKMM Bersikap Dangkal – Kumpulan Wartawan

Gambar hiasan – foto The Malaysian Lawyer

KUALA LUMPUR, 25 Sept 2023 – Sekumpulan wartawan dan pertubuhan kewartawanan menyelar sikap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang menunjukkan kedangkalan agensi terbabit untuk memahami tugas pemberitaan.

Seramai 19 wartawan veteran dan dua pertubuhan wartawan itu berkata, mereka memandang serius tindakan agensi tersebut yang mengarahkan sebuah portal untuk menurunkan laporan berhubung insiden di dalam persidangan Dewan Rakyat, minggu lepas.

“Bilakah masanya membuat laporan peristiwa yang berlaku menjadi satu kesalahan di negara ini?

“Dalam konteks ini kami berpendapat SKMM tidak seharusnya memberikan kuliah tentang apa itu ‘pelaporan yang tepat’,” kata mereka, dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

SKMM mengarahkan MalaysiaNow untuk menurunkan kandungan berita mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.

“Kami berpendapat reaksi SKMM hanya memperlihatkan kedangkalan badan pengawas itu dalam memahami tugas dan peranan media.

“Kenyataan itu juga membuktikan bahawa SKMM berselindung di sebalik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mewajarkan kewujudannya,” kata kumpulan terbabit.

Mereka turut menyelar insiden yang berlaku ketika sesi penggulungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam persidangan terbabit.

“Kami mengutuk sebarang perbuatan mana-mana ahli Parlimen yang bertindak di luar adab dan tata susila selain melanggar peraturan mesyuarat yang menyebabkan berlakunya kekecohan pada hari itu.

“Namun demikian apa yang berlaku di Dewan Rakyat itu telah disiarkan secara langsung untuk tatapan rakyat negara ini dan cebisan daripada peristiwa kekecohan itu boleh didapati dalam semua platform media sosial.

“Maka itu adalah tidak adil untuk menyalahkan mana-mana portal berita yang melaporkannya.

“Alasan SKMM bahawa beberapa pelaporan telah ‘dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan’ sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan,” kata mereka.

Malah, mereka beranggapan SKMM sengaja mencari musuh yang salah bagi mewajarkan tindakan mereka kerana pengawal media kebanyakannya memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan.

“Masalah yang dihadapi oleh SKMM dalam menangani media sosial tidak harus dijadikan alasan untuk membendung hak pengamal media menjalankan tugas mereka.

“Kami juga memahami bahawa tidak ada kebebasan media yang mutlak di mana-mana di dunia. Tetapi pengamal media harus bekerja dalam suasana yang tidak sempurna itu untuk menjadi mata dan telinga kepada rakyat,” kata kenyataan itu.

Antara wartawan veteran, ketua pengarang berita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengeluarkan kenyataan bersama ini adalah Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin dan Datuk Seri Azman Ujang. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp