TERKINI

Speaker Dewan Rakyat cadang rakyat makan Ubi kayu ganti beras

Johari Abdul – foto arkib

SUNGAI PETANI, 7 April 2024 – Rakyat di negara ini perlu berani melakukan perubahan untuk tidak terus bergantung kepada nasi sebagai sumber karbohidrat, sebaliknya menggantikannya dengan sumber lain seperti ubi kayu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata langkah menjadikan ubi kayu sebagai satu daripada sumber karbohidrat dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

“Kalau beras menjadi isu, apa tujuan kita makan beras…untuk dapatkan karbohidrat. Saya rasa ada tak alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras iaitu makan ubi kayu.

“Saya pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak, di negeri itu (Sarawak) tanam ubi kayu yang digunakan sebagai makanan tambahan, sebab khasiat ubi kayu hebat dibandingkan gula yang ada dalam beras.

“Jika kita perkenalkan makanan ubi kayu ini menggantikan beras, buat ubi kayu dalam bentuk apa pun, di Sarawak saya difahamkan ia amat berjaya,” katanya selepas meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Mengulas lanjut, Johari berkata, langkah itu juga boleh menjadi antara jalan keluar daripada kepompong sedia ada termasuk tidak membiarkan isu beras mengawal keadaan rakyat di negara ini.

Ini kerana, katanya, rakyat di negara ini mempunyai potensi sangat besar untuk menghasilkan sumber makanan sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan import.

“Jadi saya rasa sudah sampai masanya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka pintu untuk rakyat mengusahakan tanah terbiar, menanam pelbagai sumber makanan seperti sayur-sayuran.

“Apabila penawaran banyak sudah tentu harga akan turun, kita harus ada keberanian untuk mencuba, kadang-kadang kebergantungan kita kepada makanan dari luar negara ini amat hebat, kira-kira setahun lalu kita import dalam bajet hampir RM60 bilion…ini satu jumlah besar, tetapi baru-baru ini di Perak, terbukti kita boleh tanam bawang,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan BPT masih tidak kelihatan dalam pasaran, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengarahkan stok bekalan barang keperluan itu diedarkan ke seluruh negara.

Syed Abu Hussin, berkata dalam tinjauannya ke tiga pasar raya di Kota Kemuning, Shah Alam sebelum ini pihaknya mendapati hanya beras putih import (BPI) yang dijual. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp