TERKINI

SPRM didakwa jadi alat politik – KP Pejuang

Rafique Rashid Ali – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 3 April 2024 – Ketua Penerangan parti Pejuang, Rafique Rashid Ali mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat menjadi alat politik apabila hanya menyiasat pihak yang tidak menyokong Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya di laman facebook, semalam, beliau berkata SPRM hanya berminat untuk menyiasat mereka-mereka yang tidak sehaluan atau tidak menyokong Perdana Menteri.

“Yang jelas sekarang ini di mata Rakyat adalah SPRM hanya berminat untuk menyiasat mereka-mereka yang tidak sehaluan atau tidak menyokong Perdana Menteri atau Madani.

“Hampir kesemua kes profil tinggi yang disiasat atau diambil tindakan adalah pengkritik/lawan Perdana Menteri.

“Laporan-laporan kepada SPRM atau PDRM mengenai individu-individu samada Perdana Menteri atau rakan-rakannya pula seolah tiada tindakan konkrit. Sepi seribu bahasa.

“SPRM seolah diperkuda bagai alat dendam politik Perdana Menteri. Ujarnya.

Menurut beliau, SPRM akan sentiasa dilihat sedemikian selagimana ianya tidak diletakkan di bawah bidangkuasa Parlimen.

“SPRM juga tidak akan berubah selagimana Ketua Pesuruhjayanya tidak diletakkan bawah seliaan Dewan Rakyat untuk menjawap isu-isu tatakelolanya sendiri.

“Ini sahaja cara untuk elak SPRM dijadikan alat politik mana-mana Perdana Menteri.

Kenyataan Rafique berhubung siasatan SPRM ke atas pelbagai pihak yang dilihat tidak menyokong Perdana Menteri seperti siasatan ke atas Tun Daim dan isteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terbaru, siasatan ke atas anak-anak mantan perdana Menteri, Mokhzani dan Mirzan Mahathir, yang dipercayai menyasarkan Tun Dr Mahathir sendiri. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp