TERKINI

SPRM perlu segera bertindak – Pejuang

Rafique Rashid – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 12 Nov 24 – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid menggesa SPRM bertindak segera berhubung laporan mengenai pendedahan perbuatan rasuah melibatkan lapan orang Adun yang didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Menurutnya, SPRM tidak perlu hanya menunggu di pejabat sehingga laporan dibuat dan sepatutnya seperti kes-kes lain dengan melakukan serbuan.

“SPRM harus bertindak, tidak perlu menunggu di pejabat sehingga laporan dibuat,”

Rafique membandingkan tindakan SPRM terhadap beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini.

“Soalnya, bukankah modus operandi SPRM dalam kes-kes profil tinggi yang menghiasi dada akhbar selalunya begitu?

“Kes Aman Palestin, kenyataan demi kenyataan dibuat, pejabat diserbu, staf dipanggil hari-hari untuk diambil keterangan, sidang sedia dibuat. Semua akaun-akaun bank dibekukan. Berkotak-kotak dokumen dipunggah. Jongkong emas menjadi bualan hangat.

“Begitu juga dengan (kes) Fashion Valet. Persoalan timbul di media sosial, terus disambar maklumat itu dan siasatan penuh dimulakan. Berkumpul wartawan di pintu hadapan ibu pejabat SPRM menunggu peluang kemunculan Vellfire atau kereta-kereta mewah lain pemilik syarikat yang didakwa mungkin terlibat dalam kerugian pelaburan dana Khazanah serta Pemodalan Nasioan Berhad. Ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, Rafique yang juga seorang peguam turut mempersoalkan sikap SPRM yang masih menunggu untuk isu yang dikatakan mempunyai ‘bukti hidup’ seperti di dalam rakaman.

Sedangkan jelasnya, SPRM berkuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ( Akta 694) bagi membolehkan siasatan segera dilakukan terhadap kes berkenaan.

“Difahamkan bahawa pemberi maklumat ingin mendapatkan perlindungan, maka pihak SPRM mesti proaktif. Tiada guna hanya komited dalam sesetengah kes, tetapi longlai dan layu dalam kes lain.

“Isu rasuah ini bukan isu main-main. Bukankah kerajaan hari ini jauh lebih komited tentang isu tatakelola ketimbang kerajaan-kerajaan dulu?” soalnya yang turut menyenaraikan seksyen-seksyen yang membolehkan SPRM mengambil tindakan segera. Katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini dilaporkan memberitah bahawa pegawainya telah bertemu peguam pemberi maklumat itu pada 30 Okt dengan hanya klip video berdurasi 17 saat “orang bercakap tentang wang” dimainkan.

Sambil menggesa pemberi maklumat itu untuk tampil ke hadapan, dia berkata SPRM tidak boleh memberikan jaminan bertulis bahawa dia tidak akan disiasat atau didakwa.

Azam menegaskan bahawa undang-undang menyatakan bahawa apabila individu itu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia dilindungi di bawah undang-undang tetapi ini boleh dibatalkan jika dia didapati terlibat dalam kesalahan itu.

Sabtu lalu, tular satu rakaman yan didakwa kononnya seorang ahli perniagaan mempunyai lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun berbincang mengenai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp