1 Feb — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan terhadap seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pembelian tanah menggunakan dana zakat, susulan pendedahan yang dibuat oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung tahun lalu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri memberi laluan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat secara bebas dan tidak akan menjalankan siasatan dalaman terhadap pegawai terbabit.
Menurut SPRM, pasukan siasatan telah hadir ke beberapa pejabat yang disyaki terlibat bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan, dan dua individu juga telah dirakam percakapan sebagai sebahagian daripada siasatan.
Chow menjelaskan bahawa isu tersebut sebenarnya pernah dibangkitkan dan dijelaskan semasa persidangan DUN Pulau Pinang pada November lalu, tetapi ia kembali timbul sehingga mendorong SPRM membuka siasatan rasmi.
Beliau turut menegaskan pegawai kanan yang disiasat masih kekal menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu hasil siasatan. – malayadaily