KUALA LUMPUR, 20 Mac 2024 – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Baginda bertitah mahu tindakan paling keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Yang di-Pertuan Agong juga bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.
Baginda bertitah, sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk, kesilapan seumpama itu tidak boleh diterima dan tidak dibenarkan untuk berlaku lagi.
“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.
“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Bulan lalu, sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu, Seri Paduka Baginda telah mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja. – Awani