TERKINI

Suara ‘Super Majority’ Boleh Jadi Kerajaan Di Selangor – Timbalan Pengerusi POM

Mohd Zin Mohamed – foto facebook Perikatan Nasional Selangor

KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2023 – Timbalan Pengerusi Proklamasi Orang Melayu Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berpendapat suara ‘super majority’ di Selangor boleh kembali menjadi kerajaan jika mereka dapat diyakinkan untuk bersatu padu dan memberi sokongan jitu kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihanraya negeri 2023 ini.

Zin Mohamed berkata dalam satu rakaman video, beliau menerangkan bahawa ‘super majority’ itu adalah bermaksud jumlah pengundi Melayu dalam satu-satu kawasan Dewan Negeri yang berjumlah enam puluh peratus ke atas.

“Kalau kita membuat satu penilaian yang terperinci dan melihat kedudukan kawasan-kawasan pilihan raya yang melibatkan dewan Undangan Negeri di negeri Selangor ini, yang pada hari ini ada 56 kawasan dan kalau kita kaji setiap kawasan itu berapa yang pengundinya merupakan orang Melayu, orang Cina atau pun orang India.

“Kita boleh merumuskan ada 34 kawasan yang orang Melayunya sekurang-kurangnya majoriti 60 peratus ke atas. Ini adalah suara pengundi yang boleh ditakrifkan sebagai golongan Melayu ‘super majority’.

Dalam penerangan tersebut, Zin Mohamed yang juga bekas Menteri Kerja Raya berkata jika kumpulan ‘super majority’ ini bersatu padu, mereka boleh melepasi angka 29 untuk membolehkan kerajaan baharu ditubuhkan.

“Jikalau mereka (rakyat) bersatu padu, tidak berpecah belah, meletakkan landasan ke atas plantar Proklamasi Orang Melayu dan memberikan sokongan yang kuat dan jitu kepada parti Perikatan Nasional, insyaallah kita akan dapat melepasi angka 29 bagi membentuk kerajaan yang mewakili suara ‘super majority’ di negeri Selangor Darul Ehsan ini.

“Dan terpulanglah kepada golongan Melayu ‘super majority’ ini untuk orang kata ‘seize the opportunity’ ini, ambil peluang dalam proses yang halal untuk menukarkan kerajaan ini dalam proses demokrasi yang menjadi hak kepada rakyat di negeri Selangor ini untuk memilih siapakah perwakilan yang akan menentukan punca kuasa di negeri Selangor ini. Katanya.

Tarikh pengundian untuk PRN 6 buah negeri serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan 12 Ogos, manakala pengundian awal telah dijalankan pada 8 Ogos lalu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp