TERKINI

Sudah Dekat PRN Tiba-tiba Saman

Mahathir Mohamad – foto Pej.KSU POM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2023 – Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Tan Sri Halim Saad yang mengemukakan saman terhadapnya dalam keadaan enam negeri akan melangsungkan Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Mahathir berkata, beliau telah menerima notis tuntutan saman tersebut dan akan menjawabnya di mahkamah nanti.

“Cuma saman ini agak pelik sebab dulu dia juga ada cuba saman Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Khazanah tapi gagal kerana Mahkamah buang kes dia pada tahun 2013.

“Saya juga hairan dengan dakwaan Halim Saad ini? Kenapa selama ini dia tidak ambil tindakan terhadap saya dan tiba-tiba dekat pilihan raya dia saman.

“Saya akan jawab tuduhan ini di Mahkamah melalui Peguam saya. Tiada apa saya perlu sembunyikan,” kata Mahathir, dalam satu kenyataan.

Ahli perniagaan itu mengemukakan saman terhadap Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri, dan Nor Mohamed sebagai bekas Menteri Kewangan II dan kerajaan Malaysia.

Saman itu dikemukakan atas dakwaan beliau mengalami kerugian selepas diarahkan kerajaan supaya menjual saham miliknya dalam Renong Bhd, 23 tahun lalu.

Bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong itu memfailkan saman terbabit pada 2 Ogos lalu melalui firma guaman Tetuan Malik Imtiaz Sarwar

“Kononnya kerana saya telah arah dia lepaskan UEM dan Renong tanpa apa-apa keuntungan kepada dia.

“Halim juga dakwa dia tidak setuju dengan arahan itu tapi saya salahguna kuasa pada tahun 2001 untuk paksa dia lepaskan juga.

“Dia tuntut bahawa UEM dan Renong milik dia dan hak perlembagaan dia saya ketepikan. Dia mahu dibayar gantirugi dan pampasan,” kata Mahathir.

Halim berkata tuntutannya berdasarkan pelanggaran haknya oleh kerajaan Malaysia ketika diarahkan Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus dalam Renong Berhad daripada United Engineers Malaysia Berhad (UEM) menurut Opsyen Jual yang dilaksanakan ke atasnya oleh UEM pada Disember 2000.

Ketika itu Mahathir atas kapasitinya sebagai perdana menteri manakala Nor Mohamed pula atas kapasitinya sebagai penasihat ekonomi khas kepada perdana menteri. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp