KUALA LUMPUR, 23 Mei 2023 – Pihak berkepentingan yang terlibat dalam kancah sukan negara perlu mengakui kelemahan sukan tempatan dan berusaha mencari cara untuk kembali menjadi antara pencabar pingat di Sukan SEA, selepas episod suram di Kemboja baru-baru ini.
Pentadbir sukan Datuk V. Radhakrishnan berkata, daripada menuding jari kepada atlet muda yang tidak berpengalaman, ketidakstabilan politik dan menggunakan atlet naturalisasi, pihak berkepentingan seharusnya mengakui kelemahan dalam persiapan dan latihan, kekurangan usaha pembangunan bakat serta mengenal pasti cabaran lawan.
“Sebagai pihak berkepentingan, personaliti yang mempunyai kuasa dalam industri, bersikap defensif dan mula menuding jari adalah tidak nampak baik untuk masa depan. Sebaliknya, terimalah hakikat serta katakan bahawa kami tidak akan mengulangi kesilapan ini pada masa depan dan lihat cari kami boleh menambah baik.
“Jika kita kata menghantar atlet muda untuk pendedahan, bagaimana pula dengan atlet pelapis yang dihantar ke Sukan SEA Filipina 2019 dan Vietnam 2021? Kita mungkin jatuh ketika ini, tapi kita boleh bangkit semula. Jadi, mulakan perancangan dari sekarang,” katanya kepada Bernama.
Radhakrishan, yang mempunyai pengalaman 40 tahun dalam sukan sebagai ahli sukan, usahawan dan pentadbir berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mesti menerima hakikat prestasi buruk pada edisi di Kemboja ini.
Pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 pada 5-17 Mei lepas, Malaysia hanya menduduki tempat ketujuh selepas mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, pencapaian terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959, selain gagal mencapai sasaran ditetapkan 40-37-64.
Vietnam kekal juara keseluruhan dengan 136-105-118 diikuti Thailand (108-96-108), Indonesia (87-80-109), tuan rumah Kemboja yang mencatat pencapaian terbaik mereka di tempat keempat (81-74-127), Filipina (58-85-117) dan Singapura (51-43-64).
Radhakrishnan berkata analisis mendalam perlu dilakukan untuk mengenal pasti kelemahan, peluang dan cabaran kontinjen negara bagi mengelakkan prestasi suram di Phnom Penh berulang dalam temasya sukan lain akan datang. – Bernama