TERKINI

Suku Pertama, Untung Petronas Gas Naik Kepada RM424.18 Juta Suku Pertama

Gambar hiasan – foto the fifth person

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2023 – Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PGB) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat kepada RM424.18 juta daripada RM410.58 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas disebabkan perbelanjaan cukai yang lebih rendah.

Hasil melonjak 14.9 peratus kepada RM1.67 bilion daripada RM1.46 bilion sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh hasil lebih tinggi daripada segmen utiliti sejajar dengan harga produk yang lebih tinggi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, PGB berkata pendapatan sesaham juga meningkat 3.3 peratus kepada 21.44 sen pada suku pertama 2023 daripada 20.75 sen pada suku yang sama sebelumnya, mencerminkan keuntungan lebih tinggi yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat.

Syarikat itu berkata lembaga pengarah telah meluluskan dividen interim pertama sebanyak 16 sen sesaham biasa berjumlah RM316.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, yang akan dibayar pada 20 Jun 2023.

“Segmen utiliti yang lebih tinggi didorong oleh harga produk wap dan gas perindustrian yang lebih tinggi sejajar dengan pergerakan harga gas bahan api ditambah dengan tarif elektrik yang lebih tinggi berikutan semakan menaik surcaj Pelepasan Imbangan Kos Penjanaan bagi separuh pertama 2023.

“Hasil segmen pemprosesan gas meningkat sebanyak 2.4 peratus berbanding suku yang sama berikutan insentif penggunaan gas dalaman yang lebih tinggi dicapai, disokong oleh usaha pengoptimuman operasi berterusan,” katanya.

PGB berkata terminal regasifikasi gas asli cecairnya di Sg Udang, Melaka dan Pengerang, Johor mengekalkan prestasi kebolehpercayaan yang kukuh pada hampir 100 peratus pada suku tersebut.

Melangkah ke hadapan, ia berkata prestasi 2023 dijangka kekal teguh, disokong oleh kontrak pendapatan yang kukuh, namun harga gas yang tinggi mungkin memberi kesan kepada keputusan tahun penuh kumpulan.

“Segmen pemprosesan gas kumpulan itu dijangka kekal stabil berdasarkan kontrak jangka panjang dan aliran pendapatan mampan di bawah penggal kedua Perjanjian Pemprosesan Gas.

“Walaupun tarif Tempoh Kawal Selia 2 lebih rendah, segmen perniagaan pengangkutan gas dan regasifikasi dijangka terus menyumbang kepada pendapatan yang baik kepada kumpulan,” katanya.

PGB berkata harga gas bahan api yang tinggi akan terus memberi kesan kepada prestasi segmen utiliti.

“Dalam persekitaran kos operasi yang lebih tinggi selepas pandemik, kumpulan akan terus berusaha untuk kecemerlangan operasi serta mencapai keseimbangan antara pelaburan untuk pertumbuhan, kehematan kewangan dan pengagihan kepada pemegang saham,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp