TERKINI

Sultan Kelantan mahu jajaran ECRL sehingga ke Rantau Panjang

Sultan Muhammad V – malayadaily.com

KOTA BHARU, 5 Mac 2024 – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung ke Rantau Panjang dalam memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan.

Titah tersebut dibacakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2024 pada Isnin.

Baginda bertitah, langkah itu juga mampu mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand.

“Beta juga menyeru supaya projek jaringan jalan raya utama di Kelantan seperti Central Spine Road dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Beta juga berharap agar pelaksanaan projek-projek tertangguh yang lain seperti jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, Jambatan Palekbang dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT 3) dapat disegerakan bagi memastikan rakyat beroleh manfaatnya,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas kelulusan projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal di dalam Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp