TERKINI

Sultan Pahang Tegur Proses Pemberian PR, Tekankan Kesetiaan dan Integriti

26 Jan – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan kebimbangan mendalam mengenai isu pemberian taraf penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan, menegaskan bahawa ia bukan sekadar urusan pentadbiran tetapi menyentuh soal amanah, integriti, keadilan dan maruah sebuah negara berdaulat.

Baginda bertitah titah pada Program Wacana Belia Diraja 2026 di sini bahawa kewarganegaraan bukan sekadar dokumen, tetapi suatu ikrar kesetiaan kepada Raja dan tanah air, bukan ganjaran atau tiket mudah untuk memasuki negara.

“Kewarganegaraan bukan hanya sekeping dokumen dan sekadar pengiktirafan undang‑undang, ia adalah ikrar kesetiaan, sumpah setia kepada Raja dan tanah air. Ia bukan ganjaran yang boleh dibeli atau hadiah kuasa,” titah baginda yang turut dihadiri Paduka anakanda Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan bahawa kedaulatan negara tidak boleh dikompromi atas alasan pelaburan, tekanan politik atau keuntungan jangka pendek, dan bahawa maruah negara bukan untuk dijual.

Baginda juga menyeru pihak bertanggungjawab supaya memastikan proses pemberian PR dan kewarganegaraan dijalankan dengan ketegasan, integriti dan keadilan demi mempertahankan kepercayaan rakyat serta martabat negara di peringkat antarabangsa.

Susulan kebimbangan ini, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan bahawa proses pemberian kad MyPR dan kewarganegaraan dijalankan secara ketat, telus dan berpandukan undang-undang serta perlembagaan, termasuk semakan silang oleh Jabatan Imigresen untuk memastikan kelayakan pemohon.

Kenyataan JPN itu menyebut bahawa status MyPR boleh dibatalkan jika pemegangnya didapati terlibat dalam kesalahan yang boleh mengancam keselamatan negara atau ketenteraman awam, dan bahawa setiap permohonan kewarganegaraan dipertimbangkan secara teliti sebelum keputusan dibuat. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp