TERKINI

Tekno Ai : Chatgpt Akan Cetus Revolusi Industri Pusat Data – Pakar

Grafik hiasan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2023 – Chatbot kecerdasan buatan (AI), ChatGPT bakal mencetuskan revolusi ke atas industri pusat data, kata seorang pakar.

Naib Presiden Kanan GDS Services Ltd untuk perniagaan antarabangsa Jimmy Yu berkata perbezaan utama antara reka bentuk pengkomputeran awan semasa dan ChatGPT, serta kandungan yang dihasilkan kecerdasan buatan (AIGC) adalah reka bentuk pusat data.

“Ia membuka peluang kepada negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand, di rantau ini, untuk mempunyai skala sumber yang lebih besar dari segi tanah, utiliti serta tenaga boleh diperbaharui.

“Ini bukan semata-mata soal lokasi. Untuk penggunaan AIGC yang lebih besar, mana-mana syarikat hanya memerlukan sumber berskala dan sambungan internet yang ringkas,” katanya pada sesi panel bertajuk “Masa Depan Pusat Data Hijau” di Persidangan Rakan Kongsi Asia Pasifik Huawei 2023 di Shenzen, China, hari ini.

Persidangan hibrid dua hari itu akan berakhir esok (18 Mei).

“Dengan pembelajaran mesin AI, pengkomputeran akan terus berjalan. Anda hanya perlu memastikan ia berfungsi.

“Kami telah membina pusat data untuk penyedia perkhidmatan awan dan kami mungkin perlu memikirkan kaedah terkini bagaimana kami harus melakukannya untuk sektor baharu, terutamanya AIGC,” kata Yu.

Beliau juga berkata GDS Services, pemaju terkemuka dan pengendali pusat data berprestasi tinggi di China, telah menyaksikan banyak sektor pusat data berskala hiper bergerak ke sektor baharu seperti AIGC.

“Apabila industri ini benar-benar berkembang dan dengan lebih banyak penggunaan, kami akan melihat titik pertumbuhan yang lebih besar untuk industri kami,” tambah Yu. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp