TERKINI

Tiada lagi hospital di utara Gaza beroperasi

Keadaan terkini hosp di Gaza – foto AFP

GAZA, 10 Dis 2023 – Semua hospital di utara Gaza kini tidak lagi beroperasi namun usaha giat dijalankan untuk membolehkan mana-mana hospital di kawasan yang musnah akibat serangan Israel beroperasi semula.

Dalam satu kenyataan semalam, jurucakap Kementerian Kesihatan yang berpangkalan di Gaza, Ashraf al-Qudra, berkata pasukan perubatan menghadapi kesukaran bekerja di Hospital Al-Shifa, kompleks perubatan terbesar di Gaza.

“Walaupun menghadapi kesukaran, kami akan meneruskan percubaan untuk menjalankan operasi di mana-mana hospital di Gaza.

“Semua hospital di utara Gaza ketika ini seperti tempat pemindahan dan bukannya merawat orang sakit,” kata al-Qudra seperti dilaporkan Agensi Anadolu.

Beliau memaklumkan, Hospital Nasser di bandar Khan Yunis, selatan Gaza juga sesak dengan kira-kira 1,000 orang cedera dengan kebanyakannya terbaring di lantai hospital.

Seorang pegawai kementerian di Pejabat Media Kerajaan yang berpangkalan di Gaza, Maher Shamiyya pula berkata, al-Shifa tidak mempunyai bekalan elektrik dan penuh dengan orang yang berpindah.

Menurut pihak berkuasa Gaza dan organisasi kesihatan antarabangsa, bantuan dan bekalan perubatan memasuki Gaza juga hanya dalam kuantiti yang sangat terhad.

Semua penduduk turut berdepan kekurangan bahan api, yang dihalang masuk oleh Israel sejak 7 Oktober, sekali gus menjadi halangan utama untuk menjalankan operasi hospital.

Israel terus meneruskan melakukan serangan ketenteraannya di Gaza sejak 1 Disember lalu selepas berakhirnya jeda kemanusiaan selama seminggu dengan kumpulan Hamas.

Setakat ini, lebih 17,000 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 43,616 lagi cedera dalam serangan udara dan darat yang bertubi-tubi di Gaza sejak 7 Oktober lalu. – Utusan Malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp