PUTRAJAYA, 16 Julai 2023 – Malaysia berkemungkinan tidak mengalami politik perkauman sekiranya etnik bukan Melayu benar-benar berasimilasi dengan budaya Melayu dan Bumiputera, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata, seperti zaman 30-an, komuniti Cina di Malaysia waktu itu bukan sahaja mampu berbahasa Melayu tetapi turut berbudaya seperti masyarakat tempatan dan dikenali sebagai Baba dan Nyonya.
“Apabila British menjajah Singapura dan Pulau Pinang berlaku kemasukan besar-besaran migran India dan China dan mengatasi bilangan Baba Nyonya. Mereka melihat tiada keperluan untuk mengikut budaya Baba dan Nyonya.
“Mereka kekal identiti China, bertutur menggunakan dialek Cina, menetap di kawasan komuniti mereka dan menyertai perniagaan dengan agresif dan berkembang.
“Politik mereka juga berkenaan China. Menyokong gerakan menjatuhkan Dinasti Manchu oleh Sun Yat-sen. Mereka juga mendapatkan dana besar untuk perjuangan itu dan memujuk Baba Nyonya menjadi Cina kembali, bercakap bahasa Cina,” kata Mahathir
Mahathir berkata, sedangkan etnik Cina di kebanyakan negara lain mereka berasimilasi dengan penduduk tempatan dan dikenali dengan negara tempat mereka menetap dan bersekolah kebangsaan.
“Seperti di Indonesia, Thailand, Filipina, Amerika Syarikat dan Australia, mereka tidak dikenali sebagai Cina Indonesia, Cina Filipina, Cina Thailand, Cina Amerika atau Cina Australia.
“Sebaliknya dalam kenali sebagai warga Indonesia, Thailand, Filipina, Amerika atau Australia,” katanya.
“Bayangkan apa berlaku kepada Malaysia sekiranya mereka yang berketurunan Cina bercakap menggunakan bahasa Melayu di rumah dan mengekalkan budaya Baba Nyonya serta pergi ke sekolah kebangsaan,” kata Mahathir.
Sekiranya itu berlaku, beliau membayangkan etnik tersebut akan berasimilasi dan bercampur dengan etnik lain seperti Melayu dan Bumiputera.
“Tidak akan ada politik perkauman,” katanya, lagi. – malayadaily.com