KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2023 – Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakannya memecat Tan Sri Apandi Ali kerana beberapa tindakan yang dilakukan bekas peguam negara itu jelas menunjukkan pengabaian tugas secara terang-terangan.
Bekas perdana menteri itu menegaskan, keterangan bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di Mahkamah Tinggi pada 28 Julai lalu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan Apandi dengan sengaja enggan melakukan pendakwaan walaupun terdapat bukti salah laku.
“Zeti menyatakan bahawa beliau telah melaporkan kepada Peguam Negara pada masa itu iaitu Apandi perbuatan salah kakitangan 1MDB.
“Tetapi peguam negara tidak mengambil sebarang tindakan. Ia seolah-olah kelalaian tugas,” kata Mahathir, dalam satu kenyataan disiarkan di laman media sosialnya, hari ini.
Tambahnya, Apandi juga menolak segala kes terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1MDB, namun selepas peguam negara diganti, tiga mahkamah dan sembilan hakim mendapati Najib bersalah.
“Jelas, Apandi selaku peguam negara tidak mengkaji kes itu secara menyeluruh sebelum mengisytiharkan Najib tiada kes untuk dijawab,” kata Mahathir.
Beliau turut melahirkan kekecewaan apabila kerajaan bersetuju dengan penyelesaian luar mahkamah terhadap saman dikemukakan Apandi terhadap kerajaan susulan pemecatannya.
Tindakan itu katanya menunjukkan seolah-olah Apandi dipecat secara salah dan kerajaan tidak menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Saya tidak terlibat dalam penyelesaian itu. Saya tidak bersetuju saya telah memecat Apandi secara salah.
“Tetapi kini, laporan bahawa beliau gagal mengambil tindakan terhadap laporan oleh Bank Negara membuktikan beliau tidak menjalankan tugasnya sebagai peguam negara, ini mewajarkan lagi pemecatannya.
“Beliau kemudiannya pampasan dengan jumlah wang yang tidak diketahui tidak mencerminkan dengan baik kedaulatan undang-undang di negara ini,” jelasnya.
Pada 13 Oktober 2020, Apandi menfailkan saman dengan menamakan Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai peguam negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu sebagai tidak sah.
Bagaimanapun, pada 15 Februari lalu, kerajaan bersetuju bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman tersebut malah ia dikelaskan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88). – malayadaily.com