TERKINI

Tiket KL-Tawau Sempena Aidilfitri Terlalu Mahal – Ka Siong

foto Sabah Post

SHAH ALAM, 16 April 2023 – Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempertikai harga tiket penerbangan Kuala Lumpur- Tawau sempena Hari Raya Aidilfitri yang disifatkan terlalu mahal.

Menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya, Ka Siong berkata hasil semakan mendapati tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kelas ekonomi menjelang musim Hari Raya Aidilfitri ini (20 April 2023) menjangkau RM3,138.

Menurutnya, ketika pintu sempadan baru saja dibuka pada 1 April tahun lalu, tambang ketika itu melebihi RM1,000 kerana tidak banyak pesawat boleh beroperasi ekoran perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk tiga bulan sebelum dibenarkan beroperasi demi keselamatan.

“Pada masa itu, saya selaku Menteri Pengangkutan serta kerajaan dikritik teruk. Saya berdepan situasi tersebut dengan sebaik mungkin. Sekarang, bukan lagi isu sekatan pergerakan akibat COVID-19 atau MRO, tapi harga tambang dari Kuala Lumpur ke Tawau bernilai RM3,138 seorang.

“Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak beraya tahun ini?

“Pada masa ini bukan waktu berlakunya pandemik COVID-19, sektor penerbangan beransur pulih, kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan ‘grounded’ seperti waktu pandemik,” katanya pada Sabtu.

Ujarnya, syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah frekuensi selagi ada kemampuan dan tiada lagi sekatan ‘passenger load’ sebanyak 50 peratus sewaktu COVID-19 yang memberi justifikasi harga tambang penerbangan melonjak tinggi.

“Tambahan pula, frekuensi penerbangan tidak lagi dikawal oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah atau Sarawak, MYAirline telah pun beroperasi pada 1 Disember 2022, malah MAVCOM pun telah meluluskan banyak penerbangan seperti zaman pra COVID-19,” katanya.

Jelasnya lagi, tambang terlalu tinggi akan membebankan dan jangan sampai seluruh rakyat membuat andaian bahawa penerbangan tertentu dilihat mengeksploitasikan keadaan dengan mengaut keuntungan tinggi untuk memulihkan semua kerugian yang ditanggung semasa COVID-19 dalam tempoh singkat.

“Ini amat mengejutkan dan mengecewakan orang ramai, khususnya pengguna pengangkutan awam.

“Dijangkakan jawapan standard kerajaan adalah dasar kerajaan tidak mengawal tambang penerbangan kerana ‘dynamic pricing mechanism’,” katanya.

Hasil semakan mendapati tiket penerbangan sehala dari KL ke Tawau untuk kelas ekonomi menjelang musim Hari Raya Aidilfitri ini (20 April 2023) menjangkau RM3,138. Ini amat mengejutkan dan mengecewakan orang ramai, khususnya pengguna pengangkutan awam.

Beliau menegaskan rakyat sudah tidak dapat lagi menerima jawapan standard berkenaan tidak kira zaman siapa jadi pemerintah.

“Kepada syarikat penerbangan, tolonglah rakyat,” rayunya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp