TERKINI

Tindakan ke atas tujuh wakil rakyat Bersatu diketahui selepas Aidilfitri – Muhyiddin

Muhyiddin Yassin – foto Sabah Gazette

KUALA LUMPUR, 6 April 2024 – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap enam Ahli Parlimennya dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap parti itu selepas Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, Bersatu hanya menunggu masa yang sesuai supaya apa yang dilaksana dalam perlembagaan dapat dikuatkuasakan.

“Apa yang kita telah laksanakan dalam pindaan ini akan dikuatkuasakan dan diharap dengan itu kerusi-kerusi enam Parlimen dan satu DUN itu akan kosong kerana dalam pindaan mengatakan apabila seseorang mengambil langkah seperti itu, maka keahlian dalam parti terhenti sekali gus tidak menjadi ahli.

“Mereka boleh beraya dulu selepas itu kita akan ambil langkah-langkah sewajarnya mengikut pindaan perlembagaan itu,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Jumaat.

Pada Selasa, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu.

Pindaan berkenaan membolehkan parti tersebut mengambil langkah seterusnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen, sekali gus diadakan pilihan raya kecil (PRK).

Dalam pada itu, jelas Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), pihaknya akan menguatkuasakan pindaan tersebut dan segala bentuk tindakan akan mengikut aturan peraturan perlembagaan parti dan Persekutuan.

“Pada peringkat sekarang ini tidak apa mereka boleh buat. Pelbagai tafsiran apakah mereka terkesan ataupun tidak, tapi pastinya kita telah mengambil kira semua perkara ini sebelum kita usul untuk pinda perlembagaan kerana kita tahu keenam-enam termasuk seorang ADUN adalah sesuatu yang bertentangan dengan dasar dan keputusan parti.

“Kita akan gunakan sebagai asas untuk meminda perlembagaan dan juga Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

Ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp