TERKINI

Tindakan Luar Tabie The 1975 Menjijikkan, Pemimpin Pembangkang Gesa Tindakan Segera

Rafique Rashid – Foto FMT

KUALA LUMPUR, 22 Julai 2023 – Tindakan kumpulan muzik The 1975 dan anggotanya Matt Healy bercium mulut sesama jantina dengan pemain bass Ross MacDonald dalam konsert di dalam negara baru-baru ini adalah jijik dan mengejutkan, kata pemimpin politik dan juga aktivis.

Mereka berkata, Malaysia akan kelihatan sebagai sebuah negara Islam yang lemah jika membiarkan mereka bebas tanpa sebarang pendakwaan selepas perbuatan luar tabie mereka itu dilakukan di atas pentas secara terbuka.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid menegaskan, Malaysia mesti menghantar mesej jelas negara ini tidak berkompromi dengan tindakan kumpulan tersebut yang terang-terang tidak menghormati undang-undang.

“Pejuang menggesa tindakan segera tanpa kompromi diambil terhadap The 1975 serta Matt Healy sendiri kerana keceluparannya mempersoal kerajaan serta pihak berkuasa atas isu-isu berkaitan LGBTQIA+.

“Kata-kata kesat yang dihembur secara terbuka serta berkelakuan mabuk atas pentas juga jelas menunjukkan kumpulan ini tidak menghormati undang-undang negara,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Mesej yang jelas katanya mesti dihantar agar tiada lagi pihak berani perlakuan jelik dan tidak senonoh sebegini berlaku dalam negara.

“Pejuang menyatakan Malaysia adalah negara yang agama rasminya adalah Islam, berbilang kaum dan agama serta menjunjung sensitiviti keagaaman serta nilai-nilai ketimuran masyarakat kita.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga digesa serta-merta untuk menyenaraihitamkan The 1975 dan Matt Healy dari menghadirkan diri ke Malaysia,” katanya.

Rafique turut mempersoal kredibiliti pihak Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang bernaung dibawah Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia kerana meluluskan permit persembahan The 1975 sedangkan terdapat insiden-insiden terkutuk yang sama oleh kumpulan ini di Dubai pada tahun 2019.

“Perbuatan luar tabie secara terbuka di atas pentas dihadapan ribuan penonton serta video-video yang sedang viral di media sosial sehingga kini jelas memperagakan kebiadaban kumpulan musik dari Britain tersebut,” tambahnya.

Peguam dan aktivis politik, Wan Azliana Wan Adnan bersama wakil penggerak Proklamasi Orang Melayu (gambar), berkongsi pendapat dengan Rafique, malah menegaskan mereka harus dikenakan tindakan di mahkamah.

Laporan polis – foto Needa/Azliana

Beliau berkata terdapat peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap tindakan jijik anggota kumpulan itu dalam Konsert The Good Vibes Festival di Litar Lumba F1, Sepang, itu

“Seksyen 377D Kanun Keseksaan adalah undang-undang yang berkenaan dengan kelakuan tidak sopan dan jijik yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

“Atas perbuatan mereka yang menghasut kebencian terhadap agama dan negara, mereka boleh disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948. Akta itu digubal adalah untuk menjaga keharmonian rakyat Malaysia.

“Sesiapa yang melakukan atau cuba untuk melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut telah melakukan suatu kesalahan jenayah,” katanya, dalam satu kenyataan selepas membuat laporan polis berhubung kontroversi tersebut di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, slogan Madani tidak akan bermakna jika mereka dibiarkan bebas tanpa sebarang tindakan tegas.

“Kerajaan Malaysia akan kelihatan lemah kerana membenarkan perbuatan provokasi itu dibiarkan tanpa pendakwaan.

“Tanpa tindakan tegas yang diambil ke atas mereka, apa guna dipanggil kerajaan Madani, kerana Madani bermaksud antaranya menyemai nilai-nilai murni. Perbuatan mempromosikan LGBT adalah bertentangan dengan nilai-nilai agama dan budaya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp