KUALA LUMPUR, 18 April 2023 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa hari ini (17 April) adalah hari terakhir Ahli Parlimen Tambun itu untuk menarik balik fitnah dan meminta maaf terhadapnya.
Menerusi kenyataannya dalam ciapan Twitter, Tun Dr Mahathir menegaskan sekiranya Anwar tidak berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diteruskan.
“Jika tidak, saya telah arah peguam saya untuk teruskan tindakan undang-undang tersebut.
“Selain itu, saya juga diberitahu bahawa Anwar setelah peguam saya keluar surat meminta dia menarik balik fitnahnya, ketika berdialog dengan pelajar-pelajar universiti telah berkata bahawa dia tidak mahu bergaduh dengan saya,” jelasnya.
Tambah Tun Dr Mahathir, perbuatan Anwar disifatkannya sebagai terdesak sebelum Ahli Parlimen Tambun itu menjawat jawatan Perdana Menteri.
Namun dakwanya, tindakan tersebut terus dilancarkan terhadapnya meskipun telah menjadi Perdana Menteri.
“Ini agak pelik. Dia fitnah saya bermacam-macam selama berpuluh tahun. Masa itu pun bila minta tunjuk bukti, tak ada satu pun bukti yang dia tunjuk walaupun dengar cerita ada berkotak-kotak bukti dalam simpanannya.
“Saya tidak ambil tindakan kerana saya anggap ianya perbuatan seseorang yang terdesak kerana terlampau mahu jadi Perdana Menteri.
“Tetapi hari ini, apabila dia dah jadi Perdana Menteri dia masih teruskan fitnah. Jadi saya minta tarik balik dan jika tidak saya ambil tindakan undang-undang.
“Itulah yang saya lakukan. Jadi siapa yang cari gaduh?,” katanya lagi. – Awani