TERKINI

Titah Adendum Najib: Peguam Kanan persoal kenyataan Anwar

Haniff Khatri (tengah) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 17 Mei 24 – Peguam kanan, Haniff Khatri mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mencadangkan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.

Haniff dalam satu kenyataan menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman facebook, semalam, berkata, siapakah Anwar Ibrahim untuk membuat kenyataan tersebut sedangkan beliau bukan ahli Lembaga Pengampunan.

“Sebenarnya terdapat dua persoalan daripada kenyataan tersebut yang pertamanya siapakah Anwar Ibrahim, walaupun sebagai Perdana Menteri untuk membuat kenyataan berkaitan isu pengampunan Diraja, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, sedangkan Perdana Menteri bukan Ahli Lembaga Pengampunan.

“Bukankah itu menunjukkan seolah-olah ketua kerajaan tidak faham dan sekurang kurangnya tidak menghormati konsep dan tanggungjawab institusi yang ditubuhkan di bawah perlembagaan.

“Dan yang kedua, soalannya adalah kenapakah beliau ingin memberi nasihat jika ditanya bahawa pengampunan tidak wajar diberi untuk dijalankan dari rumah sekarang tunggu lepas 1MDB sekiranya tidak ada isu titah adendum yang wujud? Soal Haniff.

Dalam kenyataan yang sama, Haniff turut mempersoalkan kenyataan Anwar sebelum ini berkaitan isu yang sama dimana pada 21 April lalu ketika di Konvensyen PKR ke-25, Anwar ada menyebut bahawa titah adendum perlu dibincang dan ditentukan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tidak boleh ada mana mana keputusan pengampunan di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Bukankah kenyataan tersebut menimbulkan satu persoalan pada masa itu bahawa kerajaan dan ketua kerajaan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai pengetahuan tentang kewujudan titah adendum.

“Jadi, kedua-dua kenyataan Anwar Ibrahim ini menampilkan suatu fikiran di minda rakyat bahawa kerajaan tahu dan kerajaan yakin bahawa titah adendum itu wujud tapi bukankah titah adendum itu (samada) wujud atau tidak, berada di medan mahkamah menunggu keputusan pada 5 Jun.

Menurut Haniff lagi, sekiranya beliau dipihak pejabat Peguam Negara, mereka wajar membuat permohonan kepada mahkamah untuk mengantung keputusan dan menampilkan kedua-dua kenyataan ini untuk penilaian mahkamah sama ada perlu atau tidak diberi kebenaran, sama ada titah adendum itu tersebut adalah sah atau tidak.

“Kedua-dua kenyataan Anwar Ibrahim adalah bahawa kerajaan wajib faham konsep kedaulatan undang-undang, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang mencampuri urusan mahkamah sebagai seorang penyibuk. Tegas Haniff.

Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Seri Najib Razak perlu melalui proses yang sedang berjalan termasuk perbicaraan di mahkamah membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri ketika ditanya mengenai pendirian beliau terhadap isu pengampunan Najib terutama membabitkan Titah Adendum berkait tahanan di rumah ketika sesi temubual ‘In Coverstion With Prime Minister of Malaysia’ sempena Forum Ekonomi Doha (DEF) 2024 di Qatar.

Terdahulu, Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan permohonan Datuk Seri Najib Razak. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp