TERKINI

Tolak memorandum bantahan, Putra kecam kedutaan AS

Asmawar Samat (kanan) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 26 Jun 24 – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, dikecam oleh peserta perhimpunan kerana menolak untuk menerima memorandum bantahan mereka berhubung peranan AS berhubung genosid rakyat Palestin oleh regim Israel.

Dalam satu kenyataan, wakil parti Putra, Dato’ Asmawar Samat berkata tiada seorang pun wakil kedutaaan bersedia menerima memorandum tersebut malah pintu pagar kedutaan ditutup rapat.

“Sikap Amerika jelas tidak bertamadun, tidak bermaruah, jijik walaupun dikatakan negara maju dan kuasa besar.

Menurutnya lagi, memorandum bantahan tidak sewajarnya ditolak mentah-mentah oleh pihak kedutaan yang mewakili kerajaan Amerika, malah prinsip menerima kritikan telah diterima pakai dan diajar dan diamalkan oleh AS.

“Bukankah memorandum adalah juga aduan dan pandangan rakyat kepada pihak berkuasa?

“Prinsip supaya aduan dan kritikan dianggap sebagai maklumbalas yang berharga terdapat dalam buku tulisan Janelle Barlow and Claus Moller yang telah diterima pakai untuk diajar di institusi pendidikan tinggi dan pentadbiran negara di Amerika. Tegasnya.

Dalam kenyataan yang sama, Asmawar turut menegaskan dengan penolakan memorandum ini, mereka mempunyai asas yang kukuh untuk mendesak kerajaan Malaysia membatalkan cadangan menjual kepentingan MAHB kepada BlackRock, sebuah syarikat yang menjadi penyokong Zionis Israel.

“Oleh itu, memandangkan Memorandum dari berbagai pihak telah ditolak atau tidak mahu diterima, maka pihak aktivis juga mempunyai asas yang kukuh untuk mendesak pihak kerajaan Malaysia supaya menolak dengan tegas hasrat BlackRock yang dikatakan mempunyai kaitan dengan penjualan senjata kepada Israel daripada membeli dan memiliki 30% saham dalam MAHB.

Terdahulu, satu perhimpunan aman untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin telah diadakan pada 21 jun lalu di persimpangan Jalan U-Thant berhadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Hizbut Tahrir Malaysia dan turut dihadiri oleh pemimpin parti Putra. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp