TERKINI

Townhall ‘panas’, MP Klang pertikai kenyataan Pengarah JSJ Bukit Aman

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (kiri) dan Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau (kanan). – B Harian

KLANG, 30 Jan 2024 – Sesi dialog awam bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di sini hari ini bertukar panas dengan perdebatan berkaitan isu birokrasi dalam perancangan bandar.

Situasi panas apabila Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau, bangkit mempertikai kenyataan Mohd Shuhaily yang dilihat seperti menuding jari terhadap ahli politik dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai gagal melaksanakan perancangan bandar yang mengambil kira keselamatan serta kesejahteraan penduduk.

Komen itu disuarakan Shuhaily selepas salah seorang penduduk membangkitkan isu bagaimana dia tidak berasa selamat di rumahnya sendiri selepas pencuri masuk lapan kali dalam dua dekad lalu, bukti perancangan bandar lemah.

Shuhaily ketika menjawab soalan itu, memberi analogi bagaimana pembangunan kondominium di kawasan tertentu akan menjejaskan aspek kepolisan, terutamanya dari segi trafik dan nisbah antara anggota polis dan penduduk dalam komuniti tertentu.

“Perkara sama berlaku semasa saya menjadi Ketua Polis Pulau Pinang dan Ketua Polis Kuala Lumpur…. apabila saya bertemu majlis bandar raya untuk membincangkan keselamatan masyarakat, mereka sebenarnya tidak mempertimbangkan keselamatan penduduk.

“Ia berbalik kepada YB-YB (wakil rakyat) dan ahli majlis tempatan. Apabila pembangunan diluluskan, jalan raya menjadi sesak… dan apabila itu berlaku, polis dipanggil untuk meredakan kesesakan,” katanya ketika sesi di Dewan Persatuan Hokkien Klang di sini, hari ini.

Ganabatirau, yang turut berada di barisan hadapan bangkit mencelah untuk mewajarkan kedudukannya sebagai suara yang mewakili pengundinya dan sudah pun memainkan peranan membangkitkan kebimbangan mereka tentang sebarang projek yang akan menjejaskan komunitinya kepada pihak yang septutnya.

“Ini satu salah faham….. Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak terbabit dalam perancangan (bandar), hanya majlis tempatan yang terlibat (iaitu) pengarah pelesenan, pengarah perancangan dan presiden majlis tempatan (Yang di-Pertua),” katanya.

Mengulas lanjut, Ganabatirau berkata penggubal undang-undang tidak menghadiri mesyuarat untuk meluluskan mana-mana projek.

Bagaimanapun, Shuhaily mencelah sambil menyoal “Siapa yang melantik presiden majlis tempatan” sebelum disusuli tepukan hadirin.

Shuhaily kemudian mengiktiraf peranan penggubal undang-undang persekutuan dalam menyuarakan suara pengundi mereka dan menyalurkannya dengan cara yang betul.

Ketika sidang media selepas itu, Shuhaily menegaskan bahawa kepolisan juga perlu dimasukkan sebagai salah satu peranan penting dalam perancangan bandar untuk mengelakkan kemalangan masa depan.

“Penjelasan antara polis, penggubal undang-undang dan ahli majlis, bagi saya adalah perkembangan yang sangat positif, walaupun ia tegang,” katanya.

Shuhaily menegaskan perancangan bandar memerlukan usaha lebih gigih daripada semua agensi berkaitan bagi mengelak perkara seumpama itu berlaku pada masa hadapan. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp